MCA tidak akan menjadi pak-turut semata-mata dan tekad untuk terus menegur kerajaan dengan cara konstruktif.
Menurut Presidennya, Datuk Seri Wee Ka Siong, sebagai Ahli Parlimen, beliau mahu sentiasa bersuara sama ada di dalam atau di luar Dewan Rakyat.
Kata beliau, tindakan itu adalah demi kebaikan rakyat dan negara meskipun perlu menegur berkenaan sesuatu dasar melibatkan mana-mana kementerian.
“Peranan MCA di Parlimen tetap sebagai ‘semak dan imbang’ di dalam sistem demokrasi.
“Lagi pun, pada ketika ini, tiada pula Ahli Parlimen keturunan Cina dari blok pembangkang untuk memberi semak dan imbang.
“Kalau bukan MCA, siapa lagi? Apa jua dasar baik kerajaan yang memanfaatkan rakyat, MCA pasti akan sokong 100 peratus, dan MCA rasa terpanggil untuk bersuara jika ada dasar yang memberi impak negatif kepada rakyat,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Ahad.
Beliau berkata demikian sebagai reaksi terhadap kenyataan Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok yang mendakwa MCA agak ‘sesat’ ketika menjawab soalan berhubung hubungan DAP dan MCA dalam Kerajaan Perpaduan.
Kenyataan Teresa itu dibuat dalam satu wawancara terbitan media tempatan
Mengulas lanjut, Ka Siong turut menjawab dakwaan Teresa kononnya beliau hanya ‘menyerang’ Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.
“Ya, memang benar saya pernah membangkitkan dua isu yang ada kaitan dengan Kementerian Pengangkutan yang kini diterajui oleh YB Anthony Loke. Kedua-duanya kritikan membina demi kebaikan rakyat. Apa salah dan dosa saya?
“YB Teresa dan sekutunya boleh terus ‘membisu’, tapi hak dan tanggungjawab saya untuk bersuara. Sila hormati dan raikan perbezaan pandangan serta kebebasan bersuara,” katanya.