Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga pelajar perempuan berusia 16 tahun yang maut dalam insiden tragis di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama.
MCMC menggesa orang ramai agar bertindak dengan penuh tanggungjawab dan tidak berkongsi, menghantar semula atau memuat naik sebarang kandungan yang memaparkan mangsa, pelajar lain, atau lokasi kejadian.
Sekiranya kandungan sedemikian telah dimuat naik, orang ramai din asihatkan supaya segera memadamkannya.
Menurut MCMC, penyebaran gambar atau video mangsa bukan sahaja melanggar privasi dan maruah keluarga, malah boleh menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Suruhanjaya itu turut mengingatkan bahawa tindakan undang-undang boleh diambil terhadap individu yang mengedarkan kandungan sedemikian di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].
“Hentikan penularan kandungan yang boleh menambah kesedihan keluarga mangsa. Hormati privasi dan biarkan siasatan berjalan,” tegas MCMC dalam kenyataan itu.
