Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang menyiasat penyebaran kandungan di media sosial berkaitan kes Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir yang dipercayai mengandungi maklumat palsu serta elemen 3R (Kaum, Agama dan Institusi Diraja).
Menurut MCMC, kandungan tersebut dikhuatiri mencetuskan kekeliruan awam dan mengganggu kelancaran proses siasatan pihak berkuasa.
Individu terbabit telah dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras pada 9 Ogos 2025. Dalam siasatan itu, pihak berkuasa telah menyita sebuah telefon bimbit dan sekeping kad SIM.
Kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
MCMC mengingatkan orang ramai supaya:
- Memberi ruang kepada proses siasatan.
- Berhati-hati dengan sebarang kandungan spekulasi.
- Tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan.
Penyebaran berita tidak sahih bukan sahaja berisiko melukakan hati keluarga mangsa, malah bercanggah dengan etika serta boleh mengganggu proses keadilan.
