Umum

Menteri Sokong Cadangan Caj Kenderaan di Genting Highlands

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, menyokong cadangan kutipan caj bagi kenderaan yang memasuki Genting Highlands sebagai langkah penting untuk memastikan penyelenggaraan jalan di kawasan itu dapat dijalankan dengan berterusan.

Beliau menjelaskan bahawa jalan ke Genting Highlands merupakan laluan persendirian, diselenggara sepenuhnya oleh Genting Malaysia Berhad, dan kos penyelenggaraannya yang tinggi memerlukan sumber kewangan tambahan.

“Seperti yang diketahui, ia adalah jalan persendirian. Semua kerja penyelenggaraan telah dilakukan oleh Kumpulan Genting Berhad. Untuk kelestarian, tiada pilihan lain selain melaksanakannya,” kata Tiong.

Beliau menekankan bahawa konsep ‘pengguna bayar’ lebih wajar, terutama apabila pembangunan di kiri dan kanan laluan bukan milik Genting, dan pemaju lain tidak terlibat secara langsung dalam kos penyelenggaraan.

Tiong turut menegaskan bahawa caj yang dikenakan mesti adil dan berpatutan, agar laluan tetap dijaga dengan baik tanpa menjadikannya seperti jalan awam sepenuhnya. Beliau berharap orang ramai memahami rasional cadangan tol ini, memandangkan jumlah kenderaan termasuk lori berat yang menggunakan laluan tersebut semakin meningkat.

Beliau juga memuji kecekapan Genting Malaysia Berhad dalam memastikan akses jalan sentiasa terpelihara, dan kenyataan ini dibuat selepas majlis menandatangani MoU antara Resorts World Genting (RWG) dan Tourism Malaysia di Genting Highlands, Khamis lalu.


 

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top