Malaysia Muslim Festival (MMF) 2026 terus memperkukuh agenda pemerkasaan ilmu apabila mengumumkan Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA) sebagai Rakan Sokongan (Supporting Partner) bagi segmen Pesta Buku Islamik.
Kerjasama strategik ini dijangka membuka lebih banyak peluang kepada penulis, penerbit dan pencinta buku untuk mendekati karya ilmiah, pemikiran kontemporari serta wacana intelektual yang relevan dengan masyarakat Muslim masa kini.
Menurut Pengarah MMF, sokongan MABOPA akan memperkayakan kandungan Pesta Buku Islamik, sekali gus menjadikan ia platform penting untuk menggalakkan budaya membaca dan perbincangan ilmu dalam suasana festival.
“Dengan sokongan MABOPA, Pesta Buku Islamik MMF 2026 dijangka lebih meriah dan memberi peluang kepada pembaca serta pelajar untuk mendekati bahan bacaan berkualiti dan wacana intelektual,” katanya dalam satu kenyataan.
MMF 2026 akan berlangsung selama empat hari bermula 5 hingga 8 Februari 2026 di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) dan menyasarkan kehadiran pengunjung daripada pelbagai latar belakang termasuk keluarga, pelajar, profesional serta komuniti industri halal.
Selain Pesta Buku Islamik, festival ini turut mengetengahkan konsep 5@MMF yang merangkumi lima segmen utama iaitu:
- Makanan dan minuman
- Fesyen patuh syariah
- Kesihatan dan kecantikan
- Perdagangan dan perkhidmatan
- Pesta Buku Islamik
MMF 2026 dilihat sebagai platform menyeluruh yang menggabungkan gaya hidup Muslim, keusahawanan, ilmu serta hiburan berunsur Islamik dalam satu acara berskala besar.
Maklumat lanjut mengenai festival ini boleh didapati menerusi laman web rasmi di www.mymuslimfestival.com.my.
