Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) berhasrat menganjurkan kejohanan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) sebagai acara tahunan dalam usaha mendekati golongan belia di negeri itu.
Menurut Pengarah Jabatan Belia Masyarakat dan Landskap MPAJ, Mohammad Yusuf, kejohanan yang julung kali diadakan itu berjaya mendapat sambutan sangat luar biasa sehingga mereka terpaksa menghadkan penyertaan bagi memastikan perjalanan pertandingan itu berjalan lancar.
Disebabkan itu, terdapat beberapa perancangan yang akan dilakukan demi memastikan pertandingan MLBB itu terus berjaya dan mendapat sambutan orang ramai terutamanya generasi muda.
“Kita sebenarnya tidak sangka pertandingan ini mendapat sambutan hangat daripada orang ramai dan lebih 50 pasukan ingin menyertai pertandingan ini tetapi kita perlu hadkan kepada 48 pasukan sahaja.
“Insya-Allah kita akan jadikan ia sebagai acara tahunan sebab kita pun pertama kali buat kejohanan ini dan maklum balas daripada pemain pun, mereka kalau boleh nak suruh buat liga. Ini dalam rangka kita untuk buat liga yang lebih tersusun,” ujarnya.
Sehubungan itu, pihak MPAJ juga akan cuba mengadakan kerjasama dengan Selangor Red Giants (SRG.OG) bagi memastikan pertandingan berkenaan terus membawa manfaat kepada peserta.
“Kejohanan seperti ini adalah platform untuk menggalakkan anak muda kerana Selangor ada SRG.OG. Jadi kita nak pelapis anak muda ini nanti berjaya juga dan mereka boleh dijadikan ini sebagai kerjaya satu hari nanti.
“Untuk skala besar nanti, mungkin kita akan panggil SRG.OG sebagai jemputan atau buat klinik untuk peserta. Itu dalam perancangan kita,” katanya.
Terdahulu, kejohanan Piala MLBB MPAJ 2025 berjaya menarik 240 peserta dan menyaksikan The Last Saiyan muncul juara untuk membawa pulang RM1,000 pada pertandingan yang diadakan di dewan serba guna MPAJ AU2, semalam
Velocity MY pula meraih tempat kedua (RM600) dan Gigas Esports di tangga ketiga (RM400) sementara UZ Esports pula berjaya menjadi empat pasukan terbaik, (RM200).
