Pemandu teksi, Norazlan Ismail selamat tiba ke ibu negara malam semalam selepas lima hari berjalan kaki dari Tol Skudai, Johor Bahru, Johor menuju Istana Negara di sini dalam membawa misi pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Norazlan,49, berkata desakan hidup dan kesempitan wang membuatkan dia nekad berjalan sejauh 312 kilometer (km) bagi membuka mata pemimpin berkenaan keperitan hidup yang terpaksa ditempuh rakyat marhaen sepertinya.
“Saya nampak cara ini satu jalan bagi orang bawahan macam saya yang tersangat memerlukan pengeluaran caruman KWSP secara bersasar untuk menyelesaikan hutang.
“Saya bersyukur sepanjang perjalanan ramai yang ingin membantu, ada yang nak bagi duit, nak bagi tumpang, tapi saya tolak sebab itu bukan motif saya berjalan ini.
“Kalau saya tumpang orang baik saya naik bas saja. Saya nak supaya benda ini pemimpin nampak dan syukur saya berjaya sampai malah saya juga dapat cenderahati dari Tuanku (Yang di-Pertuan Agong) bermaksud walaupun tidak berjumpa tapi Baginda tahu saya di sini,” katanya.
Norazlan berkata demikian ketika ditemui di Pintu 3, Istana Negara di sini bersama Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan bersama dan wakil badan bukan kerajaan (NGO) yang menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.
Berkongsi cerita, Norazlan berkata, berbekalkan tekad yang tinggi dia berjaya menempuh pelbagai cabaran lebih-lebih lagi apabila terpaksa berjalan dalam kesejukan akibat hujan yang sering melanda ketika ini.
“Ada sekali itu hujan waktu malam agak lebat dan terlalu sejuk tetapi tak ada jambatan berdekatan untuk saya berteduh tapi dengan semangat berkobar walaupun penat saya gagahkan diri, saya jalan juga.
“Ada yang pertikai kesihatan fizikal dan mental saya tapi jangan bimbang semangat saya bawa dengan izin anak-anak dan ibu bapa dari Johor,” katanya.
Sementara itu, Wan Saiful berkata, dia yang hadir bersama wakil tiga NGO tidak merancang bertemu Norazlan sebaliknya telah memohon tarikh untuk menyerahkan memorandum berhubung pengeluaran KWSP sejak pertengahan Mac.
“Tiga NGO iaitu Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat (PGIRM), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Global Human Right Federation berjumpa saya sebulan lebih dan minta bantu proses sembah maklum hari ini.
“Saya mohon menyembah maklum pada pertengahan Mac dan kebetulan Norazlan mula berjalan pada 28 Mac dan kita bertemu hari ini. Saya khuatir jika dia terus berjalan tiba-tiba jadi perhimpunan tanpa permit jadi saya minta dia ikut sekali dengan kita,” katanya.
Norazlan sebelum ini dilaporkan memulakan perjalanan sejauh 312 km dari Tol Skudai ke Istana Negara membawa misi pengeluaran caruman KWSP supaya kepayahannya disedari pihak atasan kerajaan terutama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Norazlan memulakan misi perjalanan solonya jam 10 malam, 28 Mac lalu dan menganggap ‘misi gila’ itu satu-satunya cara supaya kerajaan memahami betapa terdesak individu sepertinya mahukan pengeluaran caruman bersasar.