Umum

Nahas Elmina: CVR mungkin dihantar ke Florida untuk tujuan analisa – Anthony Loke

Kotak Perakam Suara Kokpit (CVR) milik pesawat Beechcraft yang terhempas di Bandar Elmina pada Khamis lepas, mungkin terpaksa dihantar kepada pihak pengilang di Florida, Amerika Syarikat, bagi tujuan mendapatkan semula data rakaman tersebut.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Foke berkata, keputusan itu sedang dipertimbangkan selepas makmal analisa di Singapura dilaporkan gagal untuk mendapatkan rakaman suara 30 minit terakhir sebelum kejadian, dari ‘memory puck’ CVR tersebut.

Loke berkata, pihak Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) dijangka akan pulang semula ke ibu negara hari ini, dan akan memberi taklimat tentang situasi tersebut, serta langkah yang perlu dilakukan seterusnya.

“Pagi ini saya telah mendapat laporan dari ketua BSKU, bahawa makmal di Singapura juga tidak dapat keluarkan voice data tersebut. Jadi ada beberapa isu teknikal. Ada kekangan yang tidak membenarkan atau tidak dapat keluarkan rakaman tersebut. Jadi ketua BSKU akan balik petang ini, akan beri penjelasan kepada saya, dan susulan itu kita mungkin akan hantar “memory puck tersebut” ke Florida untuk dianalisa.”

“Sekarang ini paling kritikal CVR tersebut. Sehingga kita berjaya ‘retrieve data’ dari CVR tersebut, kita belum lagi dapat membuat kesimpulan awal. ‘Memory puck’ itu sudah dikeluarkan, dan masih dalam keadaan yang boleh kata baik, cuma kita tak tahu apa masalah tak dapat ‘download data’ itu kembali,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian kepada sidang media selepas merasmikan Seminar Keselamatan Penerbangan 2023 di ibu negara, pada selasa.

Sebelum ini media melaporkan, Malaysia menghadapi kesukaran untk mendapatkan data rakaman berkenaan, kerana CVR tersebut berada dalam keadaan tidak sempurna, dan hangus terbakar.

Dalam pada itu, Loke berkata, Malaysia buat masa ini tidak mempunyai kebolehan untuk membuat analisa sendiri ekoran wujud kekangan tertentu, termasuk peralatan yang mencukupi.

“Peralatan seperti ini memang perlukan pelaburan, dan kita cuba memperolehi peralatan ini. Tetapi bila dalam keadan kecemasan, kita perlu tindakan segera, jadi terpaksa untuk dapatkan bantuan mana-mana pihak yang mampu.

“Dalam dunia penerbangan, kita kena faham tak ada satu pun negara yang boleh buat semuanya. We need to have collaboration. Itu sebabnya pihak penerbangan ada kerjasama di peringkat serantau dan antarabangsa.

“Bila ada insiden, kita sering bekerjasama. Inilah yang disebut ‘aviation diplomatic’. Bukan soal ego atau nasional masing masing. Saya harap tidak ada tuduhan atau anggapan mengapa tak buat dalam negara. Kalau dah boleh buat, sudah tentu kita buat,” katanya lagi.

Loke berkata, berdasarkan garis panduan Annex 13, di bawah Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), laporan siasatan awal perlu dikeluarkan dalam tempoh 30 hari dari tarikh insiden.

Nahas yang mengejutkan negara itu, telah mengorbankan 10 nyawa, termasuk Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang Datuk Seri Johari Harun.

Turut berada dalam pesawat itu ialah juruterbang Shahrul Kamal Roslan, 41, dan pembantu juruterbang Heikal Aras Abdul Azim, 45, serta lima penumpang iaitu Muhammad Taufik Mohd Zaki, 37, Khairil Azwan Jamaludin, 43, Shaharul Amir Omar, 49, Mohammad Naim Fawwas Mohamed Muaidi, 35, dan Idris Abdul Talib @ Ramali, 41.

Dua lagi adalah orangawam iaitu penunggang p-hailing Muhammad Hafiz Muhammad Salleh, 32, dan pemandu e-hailing Sharipudin Shaari, 51, yang melalui kawasan kejadian.

Sumber: Astro Awani

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top