Pengampunan DiRaja sebelum seseorang individu yang didapati bersalah di Mahkamah, menjalani hukuman yang dijatuhkan ke atasnya, adalah sesuatu yang salah, tegas Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau itu berkata, banyak kes melibatkan pemimpin kanan UMNO sebelum ini menyaksikan mereka menjalani hukuman sebelum diberikan pengampunan dan dibebaskan.
Mohamad berkata, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak perlu melalui proses untuk mendapatkan pengampunan, seperti mana yang berlaku kepada bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Harun Idris, dan Datuk Mokhtar Hashim.
“Dia tidak boleh diampunkan selagi belum melalui proses. Itu adalah salah, sangat salah. Kebanyakan pemimpin UMNO yang terkenal, Menteri Besar Selangor Harun Idris, dia kena jalani hukuman. Mokhtar Hashim, kena jalani hukuman.
“Semua orang (yang bersalah) perlu jalani hukuman sebelum mendapat pengampunan. Ia adalah semudah itu, tiada cara lain,” katanya seperti dilaporkan dalam portal Asia Times.
Tambahan, Tok Mat masalah yang melingkari negara masa kini berakar dari kegagalan UMNO dan Barisan Nasional untuk memberi penerangan yang telus tentang skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Selain itu, Mohamad turut berkata, Najib juga tidak boleh berharap terhadap layanan istimewa dari kerajaan yang dipimpin UMNO dan BN sekiranya ahli Parlimen Pekan itu dipenjarakan berhubung kes rasuah.
“Mahkamah adalah satu-satunya tempat untuk anda membuktikan anda tidak bersalah atau sebaliknya. Dia (Najib) tidak membuktikannya, dan dia tidak mampu membuktikannya. Jadi semua orang perlu membayarnya.”
“Jika mahukan pengampunan, dia perlu melalui proses. Dia perlu masuk ke dalam (penjara) terlebih dahulu,” tambah Mohamad.