Umum

Ong Kian Ming sertai Larian Keluarga Malaysia

Gambar Facebook

Larian Keluarga Malaysia (LKM) yang bakal diadakan pada 29 September 2024 yang komited membantu anak yatim di bawah jagaan Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) terus mendapat sambutan pelbagai pihak tanpa mengira fahaman agama, bangsa dan politik.

Hari ini, Ong Kian Ming yang juga merupakan bekas Ahli Parlimen Bangi, mengesahkan penyertaanny dalam kategori 10 kilometer (km) pada program larian dijangka di Persiaran Flora, Cyberjaya, menerusi sebuah hantaran di laman Facebook miliknya.

Ong yang kini pro naib canselor untuk perhubungan luar di Taylor’s University dikenali sebagai peminat larian dan pernah berlatih dengan Duta LKM Khairy Jamaluddin untuk meningkatkan kelajuan lariannya.

YKM ditubuhkan pada 23 Okt 2021 untuk menjadi ‘pelindung’ kepada anak yatim akibat Covid-19 terutama daripada keluarga berpendapatan rendah.

Kini diperluaskan pula kepada kanak-kanak kematian ibu bapa serentak akibat kemalangan jalan raya dan bencana alam.

LKM 2024 terbahagi kepada tiga larian iaitu ‘fun run 5km’, ‘race 10km’ dan ‘half marathon 21km’ yang dipecahkan kepada kategori lelaki, wanita, lelaki veteran serta wanita veteran.

Selain hadiah antara RM200 hingga RM800 bagi larian 10km dan 21km, penganjur turut menyediakan cabutan bertuah yang hadiah utamanya sebuah kereta sumbangan Perodua.

PALING POPULAR

To Top