dunia

Pakar bedah AS berjaya lakukan pemindahan jantung babi kepada manusia

Seorang lelaki warga Amerika Syarikat yang menghidapi penyakit jantung menerima jantung babi yang diubah suai secara genetik menerusi pembedahan pertama seumpanya di dunia.

Memetik laporan antarabangsa, pasukan doktor pada Isnin berkata, pesakit itu kini dalam keadaan stabil tiga hari selepas pembedahan dijalankan.

Pembedahan tersebut yang dijalankan oleh pasukan perubatan di Universiti Perubatan Maryland adalah yang pertama kali dilakukan menggunakan kaedah pemindahan jantung babi kepada manusia.

Ia sekali gus merekodkan kejayaan pertama dalam bidang tersebut yang memungkinan pembedahan pemindahan organ kaedah baharu.

Sekiranya ia terbukti berkesan, para saintis berharap organ babi dapat mengurangkan isu kekurangan bekalan organ yang didermakan.

Dalam satu kenyataan, Dr Bartley Griffith, antara doktor yang turut serta dalam pembedahan tersebut berkata, ini adalah pembedahan luar biasa.

“Ini merupakan pembedahan luar biasa dan membawa kita kepada satu lagi usaha lebih pantas untuk mengurangkan masalah kekurangan bekalan organ yang didermakan.

“Ketika ini kita tidak mempunyai bekalan organ yang mencukupi terutamanya jantung manusia untuk diberikan kepada pesakit yang amat memerlukan.

“Kami sedang memantau rapi pembedahan ini, namun kami juga optimis pembedahan seumpanya, yang pertama kali dilakukan ini, akan membuahkan pilihan baharu buat pesakit pada masa akan datang,” jelasnya.

Difahamkan, pesakit yang menerima jantung babi itu merupakan David Bennter dari Maryland, 57, yang terpaksa akur dengan keputusan pembedahan tersebut memandangkan ia adalah pilihan terakhir buat dirinya.

“Ia sama ada saya mati atau melakukan pemindahan jantung ini. Saya mahu meneruskan kehidupan. Saya tahu ia merupakan peluang yang agak tipis, tapi ini adalah pilihan terakhir buat saya.

Untuk rekod, pembedahan ini turut diluluskan secara kecemasan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA).

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top