PAS membuka jalan untuk penyatuan ummah bersama Umno namun terpulang jika parti itu enggan menyertainya dan terus “menjilat” DAP, kata Tuan Ibrahim Tuan Man.
Media melaporkan Timbalan presiden PAS yang sebelum ini tidak menolak kerjasama dengan Umno di sebalik sejarah “pahit” hubungan mereka berkata, kenyataan itu dibuat “atas asas penyatuan ummah”.
Tambahnya, PAS bukan mahu berpakat dengan Umno sebaliknya hanya mengulas kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Isham Jalil.
“Eloklah Umno terus ‘menjilat’ DAP sebagaimana kenyataan Isham Jalil. Saya ingin tegaskan bahawa umat ini perlukan penyatuan. Bagi yang tidak mahu, itu hak mereka,” katanya kepada FMT.
Tuan Ibrahim mengulas kenyataan Presiden Umno Zahid Hamidi yang menyifatkan PAS “gila talak” kerana masih mahu kerjasama politik dengan partinya.
Timbalan perdana menteri berkata, PAS sepatutnya “menoktahkan” mimpi bersama Umno sambil menambah sejarah pahit sebelum ini mengakibatkan Umno nekad tidak menjalinkan semula kerjasama dengan PAS yang kini bersama Perikatan Nasional (PN).
Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari pula menyindir Zahid sebagai “nakhoda gagal yang sedang kapalnya karam” bagaimanapun “anak-anak kapal” di sekeliling tidak berani menegur, bahkan hanya berperanan menjadi tukang ampu.
Katanya, justeru PAS akan terus berusaha menyelamatkan pemimpin dan ahli Umno daripada terus karam.
“Sama ada menyelamatkan kapal Umno atau menjemput mereka menyertai kapal lain. Perpaduan ummah tidak pernah akan bernoktah usahanya,” katanya.
Ahli Parlimen Pasir Mas turut menyerahkan kepada Zahid untuk menyatakan PAS “gila talak”, kerana hakikatnya parti Islam itu menang besar berbanding pihak “yang mengata nista”.
“Realitinya posisi sebagai timbalan perdana menteri dan menteri luar bandar (menteri kemajuan desa dan wilayah) pun gagal dimanfaatkan untuk memikat undi masyarakat luar bandar khususnya orang Melayu,” katanya.
Sumber FMT