Umum

Pas nafi atur rancangan jatuhkan BN, UMNO – Ahmad Samsuri

Pas menafikan dakwaan parti itu terlibat dalam mengatur gerak untuk menjatuhkan Barisan Nasional (BN) dan UMNO sebagaimana dokumen minit mesyuarat Perikatan Nasional (PN) yang tular di media sosial.

Naib Presidennya, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar menyifatkan, butiran dokumen berkenaan adalah palsu dan sampah.

Menurut Ahmad Samsuri, pihaknya belum memikirkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap isu berkenaan kerana proses mahkamah yang rumit dan mengambil masa.

“Yang dokumen sampah macam itu pun ada orang percaya jugakah? Saya buat gelak saja benda itu (dokumen), eja nama saya pun tidak betul… tak benar, itu datang daripada mana entah, benda-benda sampahlah bagi saya…” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis penyerahan bantuan persediaan dan pendahuluan diri penerima biasiswa Skim Pelajar Cemerlang Yayasan Terengganu ke luar negara 2022 pada Rabu.

Bagaimanapun, Ahmad Samsuri mengakui, wujudnya pertemuan bersama beberapa pemimpin politik seperti yang dinyatakan dalam minit mesyuarat itu, namun ia bukan bertujuan untuk menjatuhkan pemimpin UMNO.

“Pertemuan itu ada… pertemuan itu adalah dalam kapasiti yang berbeza dan juga dicampur-campur,” kata beliau lagi.

Sebelum ini, tular beberapa dokumen minit mesyuarat PM mengenai pertemuan antara Ahmad Samsuri dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dengan beberapa pemimpin parti lain pada 24 dan 27 Mac serta 4 dan 7 April lalu.

Antara pemimpin itu ialah Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali diikuti Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Bendahari Agung BN, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Sumber: Astro Awani

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top