Sekumpulan pekerja penyelenggaraan yang berada dalam kren gondola di sebuah bangunan di Jalan Kemuning, di sini, berdepan detik cemas, apabila gondola itu terhayun dengan kuat beberapa kali ketika ribut petang tadi.
Angin kuat menyebabkan gondola terbabit hilang keseimbangan, malah menghentam dinding bangunan tinggi itu beberapa kali.
Rakaman kejadian berkenaan turut menjadi tular dengan orang ramai yang menyaksikan insiden itu berasa cemas dan menjerit kerana bimbang dengan keselamatan pekerja terbabit.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, berkata pihaknya menerima laporan kejadian itu dan segera menghantar pasukan ke lokasi kejadian.
“Seramai empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pudu dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi, pasukan dimaklumkan wakil pemaju tapak pembinaan itu bahawa, mangsa yang didapati tersangkut di gondola berjaya menyelamatkan diri dengan turun sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.