Aliran keluar dana asing di Bursa Malaysia meningkat pada minggu lalu berikutan pelabur asing menjual ekuiti Malaysia bernilai RM320.3 juta, berbanding jualan bersih RM61.5 juta pada minggu sebelumnya, sekali gus aliran keluar bagi minggu keempat berturut-turut.
Dalam Laporan Aliran Dana mingguannya, MIDF Amanah Investment Bank Bhd (MIDF) berkata pelabur asing adalah penjual bersih bagi sepanjang minggu, melainkan pada Selasa apabila mereka membeli bersih RM17.2 juta.
Aliran keluar terbesar dapat dilihat pada Khamis yang mencatatkan RM196.3 juta.
Sementara itu, katanya, institusi tempatan menjadi pembeli bersih minggu itu pada RM182.7 juta selepas jualan bersih RM7.9 juta pada minggu terdahulu.
“Mereka penjual bersih pada Isnin dan Selasa, masing-masing pada RM11.9 juta dan RM29.6 juta sebelum menjadi pembeli bersih pada Rabu dan Khamis, masing-masing berjumlah RM69.7 juta dan RM167.4 juta.
“Mereka sekali lagi menjual bersih pada kadar RM12.9 juta pada Jumaat,” menurut firma penyelidikan itu.
Dalam perkembangan lain, peruncit tempatan mengekalkan belian bersih pada sepanjang minggu, meraih ekuiti sehingga RM137.5 juta, dengan belian bersih tertinggi pada Isnin iaitu RM44.6 juta.
Setakat ini, dana antarabangsa menjadi pembeli bersih untuk tempoh 17 daripada 26 minggu pada 2022 dengan aliran masuk bersih sebanyak RM6.07 bilion, manakala institusi tempatan adalah penjual bersih untuk tempoh 20 daripada 26 minggu, dengan aliran keluar bersih berjumlah RM7.81 bilion.
Dalam pada itu, peruncit tempatan menjadi pembeli bersih selama 17 daripada 26 minggu pada tahun ini, dengan belian bersih sebanyak RM1.74 bilion.
Mengikut sektor, segmen produk dan perkhidmatan perindustrian, teknologi dan tenaga menyaksikan aliran keluar asing tertinggi iaitu masing-masing sebanyak RM124.6 juta, RM83 juta dan RM60.1 juta, manakala belian bersih terbesar oleh warga asing dicatatkan dalam sektor utiliti iaitu RM19.6 juta, katanya.
Dari segi penyertaan, MIDF berkata purata nilai dagangan harian (ADTV) dalam kalangan pelabur asing berkembang 10.14 peratus, manakala pelabur runcit dan antarabangsa menyaksikan penurunan dalam ADTV bagi minggu itu, masing-masing mencatatkan 7.56 peratus dan 13.85 peratus.
Di peringkat global, MIDF berkata kemerosotan di pasaran global kembali berlaku minggu lalu selepas mencatatkan peningkatan kukuh pada minggu sebelumnya, berikutan pergelutan sentimen terhadap inflasi, kelembapan ekonomi dan kebimbangan sama ada langkah yang dikenakan oleh pembuat dasar monetari akan menyebabkan kemelesetan.
Katanya, indeks penanda aras di Wall Street merendahkan sebahagian daripada peningkatan yang diraih pada minggu lepas, dalam keadaan aktiviti pembuatan yang lembap dan data perbelanjaan pengguna.
“S&P500 susut 2.21 peratus pada minggu ini untuk ditutup kepada 3,825.33 mata, manakala Purata Perindustrian Dow Jones turun 1.28 peratus kepada 31,097.26 mata.
“Di peringkat serantau, pelabur asing kekal sebagai penjual bersih bagi ekuiti Asia bagi minggu keempat berturut-turut, menghampiri paras yang dijualnya pada minggu sebelumnya,” kata firma penyelidikan itu.
Berdasarkan data agregat sementara untuk tujuh bursa Asia yang dijejaki MIDF, pelabur yang dikelaskan sebagai ‘asing’ menjual US$3.01 bilion ekuiti bersih pada minggu lalu, rendah berbanding jualan bersih AS$3.41 bilion pada minggu terdahulu.
“Daripada 26 minggu dagangan setakat ini pada 2022, 19 minggu adalah bagi jualan bersih, manakala tujuh minggu untuk belian bersih,” katanya.
MIDF berkata, pelabur asing memulakan minggu lalu sebagai pembeli bersih ekuiti Asia pada kadar AS$318 juta, sebelum menjadi penjual bersih pada empat hari berikutnya pada minggu itu.
“Ini didahului dengan aliran masuk ke Taiwan, Korea Selatan dan Thailand, masing-masing berjumlah sehingga AS$314.4 juta, AS$198.9 juta dan AS$47.4 juta, namun disederhanakan oleh aliran keluar bersih di India dan Indonesia pada AS$139.4 juta dan AS$88.8 juta.
“Khamis menyaksikan aliran keluar terbesar sebanyak RM1.28 bilion, di mana pelabur asing menjual bersih melibatkan semua tujuh bursa. Taiwan meraih aliran keluar terbesar pada hari itu iaitu AS$834.7 juta, diikuti Korea Selatan AS$307.2 juta,” katanya.
MIDF menambah, aliran keluar dana asing terendah dilihat pada Rabu iaitu AS$523.7 juta, didahului oleh Korea Selatan (AS$292.4 juta) dan Taiwan (AS$99.5 juta), manakala aliran keluar dana asing berterusan pada sepanjang minggu di Indonesia dan Filipina, masing-masing pada AS$266.3 juta dan AS$41.2 juta.
-BERNAMA