Umum

Pelajar 14 Tahun Ditahan Tumbuk Guru Selepas Ditegur Ponteng Kelas

Seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun ditahan polis selepas dipercayai menumbuk dan mengugut seorang guru lelaki di sebuah sekolah menengah di daerah ini.

Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Naazron Abdul Yusof, kejadian berlaku selepas pelajar terbabit ditegur kerana tidak menghadiri kelas Pendidikan Jasmani.

“Suspek bertindak bergelut dengan guru terbabit dan menumbuk wajahnya di hadapan beberapa guru serta pelajar lain,” katanya dalam satu kenyataan media.

Kejadian dilaporkan pada 28 Julai, kira-kira jam 7.15 malam. Mangsa, seorang guru lelaki berusia 29 tahun, membuat laporan polis selepas insiden tersebut.

Pelajar terbabit telah ditahan dan direman selama dua hari untuk siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan (mendatangkan kecederaan) dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan (ugutan jenayah).

Jika sabit kesalahan:

  • Seksyen 323: penjara sehingga 1 tahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.
  • Seksyen 506: penjara sehingga 2 tahun atau denda atau kedua-duanya.

Naazron turut memaklumkan bahawa kertas siasatan telah dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya, dan pelajar tersebut akan dituduh di Mahkamah Majistret Kajang hari ini di bawah Seksyen 323.

“Pihak polis menasihatkan semua pelajar agar mematuhi peraturan sekolah dan menjauhi sebarang tindakan yang boleh menjejaskan masa depan mereka,” katanya.

Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Amirul Abd Wahab di talian 013-5495236 bagi membantu siasatan.

 

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top