KUALA LUMPUR: Aksi Liga Perdana antara Sarawak United berdepan Negeri Sembilan FC (NSFC) di Stadium Bolasepak Cheras malam ini ‘panas’ susulan insiden pengadil perlawanan diserang pemain Sarawak United.
Menerusi satu klip video yang tular di media sosial, pengadil perlawanan, Mohd Kamil Zakaria Ismail diserang beberapa pemain Sarawak United selepas aksi berakhir dengan kemenangan 1-0 buat NSFC.
Bukan itu sahaja, malah Mohd Kamil yang dilindungi pembantu pengadil turut cuba diserang oleh barisan kejurulatihan Sarawak United di tepi padang.
Terdahulu, Sarawak United terlepas peluang untuk mengesahkan status sebagai juara Liga Perdana apabila tewas tipis 1-0 di tangan pencabar terdekat mereka, NSFC.
Lebih malang, mereka turut dipintas skuad Jang yang kini berkelebihan satu mata mengatasi mereka dengan saingan berbaki satu perlawanan lagi.
Pengadil kena serang selepas perlawanan tamat, Sarawak United 0-1 Negeri Sembilan. Panas! 🔥 pic.twitter.com/WbwQZd9zA9
— Zulhelmi Zainal Azam (@zulhelmizainal1) September 10, 2021
Bagaimanapun, kedua-dua pasukan sudah mengesahkan tiket ke saingan Liga Super musim depan namun gelaran juara Liga Perdana pasti menjadi ‘hadiah’ terbaik buat mereka pada musim ini.
Sarawak United beraksi dengan 10 pemain selepas penjaga gol, Sharbinee Allawee dilayangkan kad merah kerana ‘menapak’ dada pemain Negeri Sembilan namun Francis Kone gagal menyudahkan tendangan penalti yang diberikan.
Kone akhirnya menebus kegagalan sepakan penalti apabila menanduk masuk gol kemenangan pada masa kecederaan untuk membolehkan NSFC pulang dengan mata penuh.