Umum

Pemandu Mabuk Direman Selepas Rempuh Palang Keselamatan Istana Negara

Gambar PDRM

Seorang lelaki berusia 21 tahun ditahan polis selepas dipercayai memandu dalam keadaan mabuk dan merempuh palang keselamatan di Pintu 2 Istana Negara, awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 3.30 pagi ketika suspek memandu sebuah Toyota Vios dari arah Bukit Damansara.

Menurut beliau, insiden itu tidak mengakibatkan sebarang kecederaan, namun menyebabkan kerosakan pada bahagian hadapan kenderaan serta kemudahan keselamatan termasuk bollard dan palang automatik.

“Polis telah merakam percakapan pemandu, menjalankan ujian pernafasan serta mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.

Hasil ujian mendapati kandungan alkohol dalam badan pemandu tersebut adalah 166 miligram per 100 mililiter darah, melebihi had yang dibenarkan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut.

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top