Umum

Pencemaran ganggu kesihatan, 5 premis e-waste dikenakan tindakan

Gambar Facebook

5 premis e-waste dikenakan tindakan penahanan operasi kelengkapan (POK) di bawah Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Wan Abdul Latiff Wan Jaafar, tindakan itu bagi menghentikan pencemaran yang boleh mengganggu kesihatan penduduk dekat Kawasan Perindustrian Segamat 2, Johor.

Beliau berkata, antara buangan diproses premis itu ialah bateri litium, aluminium dros, e-waste dan kabel tercemar dengan buangan terjadual.

“JAS juga sedang melengkapkan kertas siasatan bagi tindakan perundangan ke atas lima premis berkenaan.

Ia hasil siasatan pada 16 Julai dan 12 Ogos lalu susulan 17 aduan diterima JAS daripada penduduk berhampiran kawasan berkenaan berhubung pencemaran bau serta operasi kilang e-waste haram, katanya dalam kenyataan.

Jika sabit kesalahan, semua premis itu boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 18(1), iaitu tidak lebih RM250,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya serta Seksyen 34A(6) membawa hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan denda tidak kurang RM100,000 serta tidak lebih RM1 juta.

Beliau berkata, JAS akan melaksanakan pemantauan berterusan di kawasan perindustrian itu bagi mengenal pasti jika masih ada premis memproses barangan buangan terjadual tanpa kelulusan.

Baru-baru ini, sebuah portal mendedahkan aktiviti berkenaan yang dipercayai beroperasi melerai, memproses dan melebur sampah e-waste diseludup tanpa mengikut spesifikasi.

Kilang kitar semula barang terpakai itu disyaki beroperasi tanpa permit daripada JAS bagi menguruskan proses barangan e-waste.

 

 

PALING POPULAR

To Top