Pendaki wanita yang dilaporkan sesat ketika mendaki Bukit Tabur pada Ahad ditemui dalam keadaan selamat.
Pengarah Bomba Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, mangsa, S Sangeta, 26, ditemui jam 11 pagi, Selasa selepas dua hari dilaporkan hilang.
Menurutnya, mangsa ditemui dalam kawasan gaung pada kedalaman 30 meter selepas terjatuh dari puncak bukit.
“Mangsa ditemui dalam keadaan sedar namun mengalami kecederaan akibat terjatuh dalam kawasan gaung.
“Anggota dalam usaha membawa mangsa naik ke tempat selamat,” katanya pada Selasa.
Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan seorang wanita dikhuatiri sesat ketika mendaki bersendirian di Bukit Tabur pada Ahad.
Mangsa dikatakan naik ke Bukit Tabur dari Tabur East jam 7 pagi sebelum menghubungi adiknya memaklumkan telah tersesat di suatu kawasan di Bukit Tabur empat jam kemudian.
Norazam berkata, seramai 55 orang pegawai terdiri dari pasukan Multi Skill Team (MUST) JBPM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Hutan dan Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu (MOSAR) dibantu dua anjing pengesan terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) itu.
Beliau turut menasihatkan pendaki agar melaporkan aktiviti pendakian kepada pihak berkuasa bagi mengelak insiden sama berulang.
“Penggemar aktiviti riadah ini juga tidak digalakkan masuk ke kawasan hutan secara berseorangan,” katanya. — Sinar Harian