Tragedi bot fiber membawa 13 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang karam di perairan Pulau Pisang mengejutkan penduduk dan nelayan tempatan yang rata-rata bimbang sekiranya daerah ini terus menjadi lokasi pendaratan warga asing.
Penduduk Kampung Pontian Besar, Abd Razak Abd Rahman, 51, berkata, pendaratan PATI sebelum ini cukup sinonim dengan kawasan perairan di Kota Tinggi tetapi kini perairan Pontian dilihat menjadi pilihan PATI dari Indonesia.
“Perairan Pontian ini cukup luas dan dekat pula dengan kepulauan Riau. Mungkin itu jadi tarikan untuk PATI menyeludup masuk ke negara ini melalui Pontian.
“Kegiatan PATI menyeludup masuk ini saya perhatikan berlaku ketika nelayan tidak turun ke laut iaitu ketika musim hujan atau tengkujuh.
“Kawalan perairan perlu diperketatkan dengan lebih ramai anggota dan aset ditugaskan menjaga kawasan perairan Pontian,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Penduduk, Mohd Fahmi Shamizal, 34, pula melahirkan rasa sedih dengan tragedi bot karam yang berlaku itu.
Katanya, mereka yang hendak bekerja di negara ini sepatutnya menggunakan cara yang betul dan bukannya menggadaikan nyawa mereka di laut untuk menyeludup masuk.
“Kita faham mereka ini datang untuk mencari rezeki. Sepatutnya gunakanlah cara yang betul dan bukannya menyeludup masuk sehingga boleh menggadaikan nyawa mereka,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Besar Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Pontian, Hairul Akbar Saat berkata, nelayan tempatan turut membantu usaha mencari dan menyelamat PATI yang masih hilang.
“Setakat ini difahamkan nelayan yang ke perairan Pulau Pisang untuk membantu usaha mencari dan menyelamat berdepan kesukaran kerana angin kuat.
“Kami akan terus membantu operasi mencari dan menyelamat PATI terbabit bersama agensi dan jabatan kerajaan terlibat,” katanya.
Pada Selasa, seramai tujuh PATI dikhuatiri lemas, manakala enam lagi ditemui selamat oleh nelayan tempatan selepas bot fiber yang dinaiki mereka terbalik dan karam di perairan Pulau Pisang di sini.
Sebelum itu pada Oktober tahun lalu, empat mayat warga asing dipercayai PATI dari Indonesia ditemui terdampar di Pantai Rambah Pontian.
*Berita asal di Sinar Harian