Umum

Penemuan Kapal Purba di Pulau Melaka Buka Lembaran Baharu Sejarah Maritim Negara

Penemuan sekeping papan kayu yang dipercayai serpihan badan sebuah kapal purba di Pulau Melaka baru-baru ini dijangka bakal mengubah naratif sejarah awal negeri bersejarah itu, sekali gus membuktikan kepakaran tinggi masyarakat tempatan dalam bidang maritim jauh sebelum zaman Kesultanan Melaka.

Ekskavasi yang dikendalikan oleh Jabatan Warisan Negara (JWN) dengan kerjasama Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu menemui komponen utama kapal termasuk badan, haluan dan lantai yang tertanam dalam tanah berselut.

Menurut Timbalan Pesuruhjaya JWN, Ruzairy Arbi, hasil analisis awal menunjukkan kapal tersebut dianggarkan berusia antara 1,200 hingga 1,300 tahun, jauh mendahului sejarah rasmi penubuhan Melaka pada abad ke-13.

“Berdasarkan struktur dan saiznya, kapal ini dianggarkan sepanjang 50 hingga 70 meter, jauh lebih besar daripada kapal-kapal yang pernah ditemukan sebelum ini termasuk Mendam Berahi,” katanya ketika ditemui pemberita di tapak ekskavasi.


Diperbuat daripada Kayu Tempatan, Binaan Teknikal Canggih

Dua sampel kayu daripada kapal berkenaan telah dihantar ke makmal Beta Analytic di Amerika Syarikat untuk ujian karbon. Hasil analisis menunjukkan penggunaan kayu saga dan kayu merbau, kedua-duanya bahan tempatan yang tahan lama dan sesuai untuk pembinaan kapal besar.

Menariknya, struktur binaan menunjukkan teknik sambungan tanpa penggunaan paku besi, sebaliknya menggunakan pasak kayu dan paku tembaga — satu kaedah tradisional yang masih digunakan oleh pembuat kapal di Makassar, Sulawesi hingga ke hari ini.

“Penemuan ini membuktikan bahawa teknologi pertukangan kapal di rantau Nusantara khususnya di Melaka sudah maju ketika itu dan kemungkinan besar dibina sepenuhnya menggunakan sumber tempatan,” jelas Ruzairy lagi.


Kapal Milik Bangsawan, Bukan Dagang Biasa

Ahli Arkeologi Berdaftar JWN, Dr. Mohd Nasruddin Rahman, berkata hasil penemuan artifak seperti serpihan porselin dan mata wang logam di sekitar lokasi turut menunjukkan bahawa kapal itu bukan kapal dagang biasa, sebaliknya milik golongan bangsawan atau pembesar kerajaan.

“Struktur papan yang dijumpai sepadan dengan teknik pembinaan kapal besar yang digunakan oleh pembesar pada era kegemilangan Melaka. Dari segi saiz dan reka bentuk, ia seolah-olah setara kapal layar mewah golongan diraja hari ini,” katanya.


Langkah Konservasi dan Pameran Awam

Ketua Projek Ekskavasi, Muhammad Termizi Hasni, menjelaskan bahawa pasukan penyelidik kini dalam proses menyahpasang komponen kapal tersebut dengan berhati-hati sebelum dihantar untuk kerja konservasi penuh.

“Kita mahu mengenal pasti kedudukan asal setiap komponen seperti tiang layar, haluan dan buritan. Selepas kerja dokumentasi selesai, beberapa artifak seperti serpihan porselin dan syiling akan dipamerkan kepada umum,” katanya.

Pihak JWN dan PERZIM juga merancang untuk menempatkan hasil penemuan ini dalam pameran khas sejarah maritim Melaka bagi memberi peluang kepada orang ramai memahami kehebatan teknologi kapal tempatan zaman purba.


Mengubah Naratif Sejarah Melaka

Penemuan kapal purba ini menandakan kemungkinan bahawa aktiviti pelayaran dan perdagangan telah wujud di Melaka ratusan tahun sebelum kedatangan Parameswara — menunjukkan bahawa negeri itu sudah lama menjadi pusat maritim penting di rantau ini.

“Ini bukan sekadar penemuan arkeologi — ia membuka semula perbincangan tentang siapa sebenarnya pelayar awal di perairan Melaka dan sejauh mana mereka mempengaruhi pembentukan empayar maritim di Asia Tenggara,” kata Ruzairy.

Dengan pelbagai ujian dan analisis lanjutan sedang dijalankan, para pengkaji yakin penemuan ini bakal menambah bab baharu dalam sejarah pelayaran dan teknologi tempatan, memperkukuh lagi status Melaka sebagai pusat tamadun maritim dunia.


 

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top