Umum

Penemuan laporan LKAN, SPRM akan dapatkan dokumen dari HRDCorp

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan ke Kementerian Sumber Manusia dan Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) Selasa ini untuk mendapatkan dokumen, susulan penemuan prosedur “ketidakteraturan” dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN).

Menurut Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Ahmad Khusairi Yahaya, pihaknya sudah menerima laporan audit daripada ketua setiausaha Kementerian Sumber Manusia.

“Berasaskan laporan audit tersebut, kita mengenal pasti beberapa isu yang memerlukan dokumen dan keterangan daripada pihak terlibat. Antaranya isu pelaburan, pengurusan dana dan latihan, pembelian harta dan sebagainya.

“Oleh itu, satu pasukan khas telah dibentuk dan beberapa kertas siasatan dibuka,” katanya dalam kenyataan

Tambahnya, beberapa individu yang dikenal pasti akan diambil keterangan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 18 dan 23 Akta SPRM 2009.

LKAN 2024 yang dikeluarkan Khamis lalu mengesyorkan Kementerian Sumber Manusia merujuk pengurusan HRD Corp kepada agensi penguatkuasaan berkaitan susulan kegagalan syarikat itu dalam auditnya.

Menurut laporan itu, terdapat tindakan dan keputusan diambil pengurusan HRD Corp yang tidak mematuhi prosedur serta tidak menjaga kepentingan dalam mencapai fungsi penubuhan syarikat.

Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) turut mendedahkan panel pelaburan HRD Corp tidak melaporkan aktiviti pelaburannya kepada lembaga pengarahnya, dengan levi dikutip “secara agresif” digunakan untuk pelaburan berisiko tinggi.

 

 

PALING POPULAR

To Top