Umum

Pengecualian Duti Setem bagi Kontrak Penggajian Sebelum 2025

Kerajaan telah mengumumkan pengecualian duti setem bagi semua kontrak penggajian yang dimuktamadkan sebelum 1 Januari 2025, sebagai persediaan kepada pelaksanaan Sistem Taksir Sendiri Duti Setem (STSDS) yang akan bermula pada tahun 2026.

Menurut kenyataan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) pada Jumaat, langkah ini bertujuan mengurangkan beban kewangan majikan, susulan penemuan audit yang mendapati sebilangan besar kontrak penggajian tidak disetemkan sebagaimana yang diwajibkan di bawah Akta Setem 1949.

Di bawah ketetapan baharu ini, kontrak yang ditandatangani sebelum 2025 dikecualikan daripada bayaran duti setem sebanyak RM10. Penalti atas kelewatan penyeteman juga tidak akan dikenakan, berdasarkan kuasa yang diberikan kepada Menteri Kewangan dan Pemungut Duti Setem.

Bagi kontrak yang dimeterai sepanjang tahun 2025, duti setem tetap dikenakan. Walau bagaimanapun, penalti lewat boleh dikecualikan sekiranya penyeteman dilakukan sebelum atau pada 31 Disember 2025, menurut peruntukan subseksyen 47A(2) Akta Setem 1949.

Mulai 1 Januari 2026, semua kontrak penggajian akan tertakluk sepenuhnya kepada duti setem dan penalti akan dikenakan sekiranya berlaku kelewatan dalam proses penyeteman.

Sehubungan itu, semua majikan digesa untuk menyemak kontrak penggajian masing-masing bagi memastikan pematuhan terhadap peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Untuk maklumat lanjut atau sebarang pertanyaan, sila hubungi Hasil Contact Centre di talian 03-8911 1000, gunakan kemudahan HASiL Live Chat, atau isi Borang Maklum Balas di portal rasmi www.hasil.gov.my.

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top