Umum

Penginap di Perak dikenakan Caj RM3 mulai 1 Januari 2025

Caj Perkhidmatan Tempatan (CPT) sebanyak RM3 akan dikenakan kepada pengunjung yang menginap di Perak mulai 1 Januari 2025.

Menurut Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak Sandrea Ng Shy Ching, caj baharu untuk setiap bilik penginapan bagi setiap malam itu diperkenalkan di bawah Enakmen Hotel 2023 diluluskan DUN tahun lalu.

“Caj seumpama ini telah dilaksanakan di beberapa negeri lain dengan pelbagai nama dan tafsiran berlainan.

“Tarikh kuat kuasa pelaksanaan bayaran ini ditangguhkan ke 1 Jan 2025 bagi menghargai kedatangan pengunjung yang memeriahkan Tahun Melawat Perak 2024 sehingga hujung tahun ini,” katanya menurut Sinar Harian dalam sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh.

Katanya, CPT ialah inisiatif tambahan bagi membantu kerajaan negeri memperbaiki mutu perkhidmatan di destinasi pelancongan Perak, selain turut mengumumkan penyeragaman Lesen Hotel di bawah Enakmen Hotel 2023 mulai 1 Julai ini.

Ng berkata semua pengendali hotel, rumah tumpangan termasuk pengusaha rumah rehat, tapak perkhemahan, chalet, rumah bot, inap desa dan tempat bermalam atau penginapan lain yang mengenakan caj kepada pengunjung perlu mendapatkan lesen itu melalui pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Bagi memberikan tempoh mencukupi untuk sesi libat urus dan pendidikan kepada kumpulan sasar, kerajaan bersetuju memberikan tempoh pemutihan selama setahun sehingga 30 Jun 2025.

“Dalam tempoh ini, kita hanya beri nasihat kepada mereka dan tiada tindakan kompaun dikenakan ke atas pengusaha yang belum mendaftar dan memohon,” ujarnya

Ng menggesa semua pengusaha premis penginapan segera mengemukakan permohonan lesen daripada PBT masing-masing sambil menyatakan kadar bayaran lesen mengikut kategori itu tidak membebankan pengusaha.

 

PALING POPULAR

To Top