Umum

Peniaga mengaku tidak bersalah guna gelaran Datuk Seri tidak diiktiraf

Gambar Hiasan

Seorang peniaga berusia 40 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menggunakan gelaran Datuk Seri tidak diiktiraf daripada Yang Dipertua Melaka, 2 tahun lepas.

Tertuduh, Wan Yon Ann, didakwa menggunakan darjah kebesaran tidak diiktiraf itu bagi maksud perdagangan, perniagaan, pekerjaan dan profesion di sebuah restoran makanan segera di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur pada jam 3 petang 31 Julai 2022.

Lelaki itu didakwa melakukan kesalahan bawah Undang-undang Negeri Melaka dan dituduh mengikut Seksyen 4A(5) Enakmen Lambang-lambang dan Nama-nama (Mencegah Penggunaan Yang Tidak Betul) 1981 dan boleh dihukum bawah Seksyen 4A(6) enakmen sama yang memperuntukkan denda tidak kurang RM250,000 dan tidak lebih RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nor Aisyah Mohamed Zanyuin menawarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin, namun peguam Siti Hajar Aisyah Mohd Pozi memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya penanggung tunggal keluarga.

Hakim Izralizam Sanusi membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 29 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

 

 

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top