Seorang penjawat awam antara lapan individu beragama Islam yang ditahan kerana ponteng puasa dan dipercayai terlibat kegiatan perjudian di sebuah pusat snuker di Jalan Raja Ekram, Taman Jubilee, Ipoh, semalam.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Agama Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Asyraf Ismail berkata operasi dikenali sebagai Ops Ponteng itu dijalankan hasil risikan selama seminggu oleh pihak penguat kuasa.
Menurut beliau, lima daripada lapan individu berusia antara 36 hingga 59 tahun itu ditahan kerana makan, minum dan merokok secara terbuka pada waktu siang sepanjang Ramadan.
Kesemua mereka disiasat mengikut Seksyen 24 Enakmen Jenayah (Syariah) Perak 1992 kerana tidak menghormati Ramadan.
Selain itu, seorang individu turut ditahan kerana berjudi, manakala dua lagi disiasat kerana bersubahat dalam kesalahan berjudi dan bersubahat tidak menghormati Ramadan.
Asyraf berkata hasil risikan mendapati premis berkenaan menjadi lokasi tumpuan individu yang tidak berpuasa sepanjang bulan Ramadan.
“Ketika serbuan dijalankan, anggota penguat kuasa mendapati beberapa pelanggan sedang makan, minum dan menghisap rokok di dalam premis tersebut.
“Difahamkan juga premis berkenaan menyediakan mi goreng secara percuma kepada pelanggan,” katanya seperti dilaporkan media tempatan.
Seorang pengunjung yang bekerja sebagai penghantar makanan mendakwa dia singgah di premis itu untuk menggunakan tandas dan mendakwa sedang berpuasa, namun bukti visual menunjukkan individu terbabit merokok di dalam premis tersebut.
Pekerja bukan Islam yang turut ditahan pula akan disiasat mengikut Seksyen 61 Enakmen Jenayah (Syariah) Perak 1992 kerana disyaki bersubahat dalam kesalahan berkenaan.
Kesemua individu yang ditahan dibawa ke Pejabat Bahagian Penguat Kuasa Undang-undang Syariah JAIPk untuk siasatan lanjut.
Dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini, umat Islam diingatkan agar menghormati kesucian bulan tersebut serta mematuhi undang-undang syariah yang berkuat kuasa di negeri masing-masing.
