Umum

Penjenayah ditumpaskan, 2 lelaki ditembak mati

Gambar PDRM

2 lelaki ditembak mati dalam kejadian berbalas tembak dengan polis di Jalan Permatang Baru, Sungai Dua di Butterworth awal hari Rabu.

Menurut Ketua Polis Pulau Pinang, Hamzah Ahmad, sepasukan polis Bahagian Siasatan Khas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) yang sedang menjalankan tugas telah terserempak dengan sebuah kereta Perodua Myvi dalam keadaan mencurigakan pada 2.05 pagi di persimpangan Jalan Pokok Sena dan Jalan Permatang Baru, Sungai Dua.

“Pasukan polis menghampiri kereta itu dan mengarahkan pemandunya memberhentikan kenderaan untuk pemeriksaan, namun pemandunya bertindak memecut melarikan diri sambil melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis.

“Pihak polis mengejar kereta dinaiki dua lelaki itu sejauh dua kilometer sebelum kenderaan itu terbabas. Ketika turun untuk diperiksa, suspek telah melepaskan beberapa das tembakan tembakan yang menyebabkan polis terpaksa membalas tembakan bagi mempertahankan diri,” katanya pada sidang media di IPK Pulau Pinang.

Beliau berkata, selepas keadaan reda, polis menjalankan pemeriksaan dan mendapati pemandu serta penumpang hadapan masing-masing berusia 41 dan 51 tahun telah meninggal dunia akibat terkena tembakan.

Hamzah berkata, pemeriksaan menemukan dua pistol jenis Glock dan .38 Smith & Wesson serta 176 peluru di dalam kereta dengan dipercayai senjata api itu diperoleh dari negara jiran.

“Semakan mendapati Perodua Myvi itu adalah kenderaan dilaporkan dicuri dan cukai jalan juga telah tamat tempoh sejak 2021.

“Dua lelaki itu masing-masing mempunyai 12 dan 13 rekod lampau berkaitan jenayah dan siasatan lanjut sedang dilakukan sama ada mereka anggota geng kongsi gelap,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata 1960.

 

 

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top