Majlis Pemulihan Negara adalah sebuah majlis mesyuarat yang diasaskan oleh bekas Perdana Menteri Malaysia ke-8, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi membincangkan langkah-langkah yang perlu diambil bagi menjayakan Pelan Pemulihan Negara.
Selain itu, objektif penubuhan MPN ini adalah berperanan sebagai badan penasihat kepada kerajaan terutama ketika negara berdepan isu membabitkan kesejahteraan dan keselesaan rakyat.
Menurut, pengerusinya Tan Sri Muhyiddin Yassin “pihaknya akan sentiasa memberi pandangan dan buah fikiran, namun ia terserah kepada kerajaan sama ada untuk menerima cadangan itu atau sebaliknya”.
MPN ini juga turut dianggotai oleh beberapa tokoh industri, wakil dari Pakatan Harapan, Warisan dan Pejuang selain wakil kerajaan Sabah dan Sarawak.
Antara tugas MPN yang telah berjaya dilaksanakan adalah pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), dan mewujudkan kesedaran dalam kalangan masyarakat umum untuk mematuhi prosedur operasi standard bagi membendung wabak Covid-19 supaya dapat beralih dari pandemik kepada endemik.
Selain daripada itu, mengenal pasti dan memberi insentif-insentif yang sesuai untuk perniagaan yang berpotensi mencatat pertumbuhan dalam jangka masa sederhana dan panjang. Ia juga bagi memperkukuhkan sektor-sektor strategik utama yang menjadi bahagian penting dalam rantaian bekalan global.
MPN juga ada mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan moratorium khas untuk sektor Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS). Di mana sektor ini masih belum pulih sepenuhnya dan ditambah dengan peningkatan kadar OPR, para pengusaha PMKS akan menanggung beban hutang yang lebih tinggi dan mengambil masa yang lebih lama untuk pulih.
Ketika ini juga, MPN dalam usaha memberikan bantuan kepada rakyat dengan mengedarkan bakul makanan kepada mereka yang memerlukan dan menganjurkan Program Jualan Prihatin yang menawarkan harga keperluan harian pada harga murah.
Ia kerana, kajian yang dilakukan oleh Merdeka Centre for Opinion Research pada bulan Disember 2021 mendapati 12% rakyat telah mula ikat perut dengan makan hanya sekali atau dua kali sehari, 12% tangguh rawatan perubatan dan 31% lewat bayar hutang dan bil kerana tiada wang.
Selain itu, kajian oleh Mindshare, sebuah entiti bukan kerajaan, menunjukkan 61% rakyat Malaysia telah berada dalam kumpulan berpendapatan terkebawah (B60), iaitu dengan pendapatan isi rumah di bawah RM5,000 sebulan, selepas pandemik Covid-19 melanda negara. 76% daripada kumpulan ini berpendapatan kurang RM3,000 sebulan.
Ujar pengerusinya lagi, MPN perlu ada bagi memastikan pertumbuhan yang dipupuk daripada proses pemulihan itu diagihkan secara saksama, bagi mengelakkan jurang pendapatan melebar dan memburukkan hubungan antara kaum di negara ini.
Majlis Pemulihan Negara (MPN) ini dilaksanakan setelah Muhyiddin Yassin meletakkan jawatannya sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-8, pada 16 Ogos 2021 dan menerima tanggungjawab secara sukarela dan tidak menerima sebarang imbuhan.