Semua penyedia perkhidmatan media sosial dan pesanan internet di Malaysia yang mempunyai lapan juta atau lebih pengguna akan dianggap berdaftar sebagai Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP) berkuat kuasa 1 Januari, menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
SKMM dalam kenyataan memaklumkan, langkah itu melibatkan platform utama termasuk WhatsApp, Telegram, Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube.
Menurut SKMM, pengetepian formaliti pendaftaran di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dilaksanakan bagi memastikan penyedia perkhidmatan berskala besar beroperasi dalam kerangka perundangan serta kawal selia negara.
“Pendekatan ini selaras dengan kerangka pelesenan penyedia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial yang mula dikuatkuasakan pada 1 Januari lalu bagi mengukuhkan akauntabiliti serta pematuhan terhadap undang-undang Malaysia,” menurut kenyataan itu.
SKMM turut menjelaskan, inisiatif berkenaan bertujuan memastikan platform digital memikul tanggungjawab yang lebih jelas, khususnya dalam aspek keselamatan pengguna, termasuk perlindungan kanak-kanak dan keluarga.
Tambahnya, langkah tersebut tidak menjejaskan operasi global penyedia perkhidmatan dan sejajar dengan amalan antarabangsa dalam mengawal selia platform dalam talian berskala besar.
“SKMM akan terus bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan serta agensi penguatkuasaan bagi memperkukuh keselamatan dalam talian demi manfaat semua pengguna di Malaysia,” katanya.
Maklumat lanjut berkaitan pelaksanaan peruntukan ‘deeming’ itu boleh diperoleh menerusi saluran rasmi SKMM.
