Umum

‘Penyokong Bossku’: Kami akan tetap sokong PN

Persatuan yang mendakwa menyokong bekas perdana menteri Najib Abdul Razak bertegas akan tetap menyokong Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya enam negeri hujung minggu depan.

Bercakap kepada Malaysiakini, Pengerusi Pertubuhan Jalinan Perpaduan Negara Malaysia Syed Muhammad Imran Syed Abdul Aziz,  berkata penyokong Najib tidak akan sesekali mengubah pendirian tersebut.

“PRN ini jelas kami penyokong Bossku akan menyokong PN.

“Tiada siapa boleh ubah pendirian kami kerana kami tidak dibiayai oleh sesiapa mahupun Najib kerana perjuangan kami ikhlas kepadanya.

“Penyokong Bossku menegaskan tidak menunggang nama Najib tetapi mereka telah merasakan tertipu dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi,” katanya.

Dia juga menyoal kenapa kumpulan itu tidak digelar “menunggang” nama Najib, semasa membuat laporan SPRM dan polis untuk menuntut “keadilan” buat Najib.

“Takkan saya ingin beritahu saya berjumpa Najib seperti mana Zahid Hamidi umumkan. 

“Biarlah ia kekal sulit tetapi mesej sampai dengan jelas pada Najib di mana penyokong Bossku akan bersama PN dan tidak melibatkan mana-mana individu,” katanya.

Dia berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan anak Najib, Nooryana Najwa bahawa ayahnya tidak pernah meminta penyokongnya mengundi PN.

Nooryana juga berkata Syed Imran dan bekas pemimpin Pemuda Umno Wan Azri Wan Deris atau Papagomo tidak mewakili bapanya mahupun penyokong Najib.

Tambahnya, pendirian Najib hanya akan disampaikan di laman sosial rasminya melalui mesej daripada peguamnya.

Syed Muhammad bagaimanapun menyoal “di mana Najib ada menyatakan perlu sokong Kerajaan Perpaduan”?

Khamis lalu, Syed berkata dalam perjumpaan “penyokong” Najib, mereka kecewa dengan Zahid yang dianggap pengecut  dan tiada keinginan untuk mencari keadilan buat Najib.

Syed dijangka mengadakan satu lagi acara malam ini bersama bersama Papagomo.

Najib kini berada di Penjara Kajang, menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas disabitkan atas kesalahan pengubahan wang haram berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Sumber: MalaysiaKini

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top