Umum

Perintah khas benarkan agihan keuntungan RM25.8 juta kepada peladang sebelum Raya

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu mengumumkan pengeluaran satu Perintah Khas bagi membolehkan pembahagian keuntungan Pertubuhan Peladang bagi Tahun Kewangan Beraudit 2024 dilaksanakan sebelum Hari Raya Aidilfitri.

Langkah itu diambil bagi memastikan lebih 400,000 anggota peladang di seluruh negara dapat menerima agihan keuntungan yang dianggarkan berjumlah RM25.8 juta.

Menurut kenyataan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), keputusan tersebut dibuat susulan penggantungan yang masih berkuat kuasa menyebabkan Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) tidak dapat diadakan dalam tempoh ditetapkan.

Keadaan itu sekali gus menjejaskan proses agihan keuntungan kepada anggota mengikut tatacara biasa.

“Sehubungan itu, Menteri menggunakan kuasa di bawah Seksyen 27(2) Akta Pertubuhan Peladang 1973 [Akta 109] untuk mengeluarkan Perintah Khas bagi membolehkan agihan dibuat secara sah dan teratur,” menurut kenyataan tersebut.

Sementara itu, Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) mencatatkan keuntungan sebanyak RM221 juta bagi tahun kewangan 2024, iaitu yang tertinggi sejak penubuhannya pada tahun 1972.

Secara keseluruhannya, sebanyak 212 Pertubuhan Peladang di seluruh negara dikenal pasti layak melaksanakan pembahagian keuntungan kepada anggota masing-masing.

Mohamad Sabu berkata keputusan itu dibuat atas pertimbangan kepentingan anggota peladang supaya hak mereka tidak terjejas akibat isu tatakelola yang sedang ditangani.

Menurut beliau, Perintah Khas tersebut adalah langkah khusus dan hanya terpakai bagi Tahun Kewangan Beraudit 2024.

“Tatacara lanjut pembayaran akan dimaklumkan oleh Pendaftar Pertubuhan Peladang dalam masa terdekat,” katanya.

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top