Umum

Perjanjian Muhyiddin, Ismail Sabri: UMNO lebih untung daripada Bersatu

Perjanjian antara Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob banyak menguntungkan orang UMNO. Dengan perjanjian itu lah seorang pemimpin UMNO menjadi Perdana Menteri.

Usah dinafikan apabila Perdana Menteri daripada UMNO, banyak orang UMNO dapat manfaat. Tak perlu saya hurai satu persatu apa manfaatnya.

Tetapi nampaknya orang UMNO lah yang paling tak suka dengan perjanjian itu. Ini saya kurang faham. Kenapa jadi begitu?

Sepatutnya sambut baiklah perjanjian itu. Dengan perjanjian itulah, semua Menteri dan Timbalan Menteri UMNO yang ada dalam Kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) kekal dalam Kabinet.

Yang tak jadi Menteri sebelum ini pun dapat naik pangkat jadi Menteri.

Itu belum kira yang dapat merasa duduk dalam board GLC dan badan-badan berkanun. Daripada ketua cawangan, ketua puteri, ketua wanita, ketua pemuda sampailah ketua bahagian dapat merasa.

Kalau tak duduk dalam board GLC pun sekurang-kurangnya dapat jadi ketua kampung dan ahli JKKK.

Tak terfikir kah mereka yang semua ini berlaku kerana adanya perjanjian itu.

Tak terfikir kah mereka semua ini takkan berlaku kalau Tan Sri Muhyiddin Yassin tak tandatangan perjanjian itu dengan Datuk Seri Ismail Sabri.


Jadi kenapa malu nak mengaku adanya perjanjian?

Yang ada rugi sedikit daripada perjanjian ini adalah orang-orang Bersatu.

Yang dulu duduk dalam board GLC dan badan-badan berkanun dah tak disambung lagi khidmat mereka. Tempat itu diisi oleh orang-orang UMNO pula.

Tak mengapa lah, mungkin kerana dah tamat tempoh perkhidmatan, tak disambung pun tak pe. Dapat peluang berkhidmat setahun dua pun dah cukup bertuah.

Mereka tak bising. Mereka tak buat hal. Malah mereka lah yang paling kuat mempertahankan perjanjian antara Tan Sri Muhyiddin dan Dauk Seri Ismail Sabri kerana hormat mereka kepada pemimpin parti.

Tawadduk betul orang-orang Bersatu ni.

Saya rasa bertuah berada dalam parti yang dikelilingi oleh orang-orang yang tawadduk. Tidak tamak dan haloba. Reda saja dengan ketentuan Allah.


Jika ada rezeki ada lah. Jika tak ada rezeki kali ini, mungkin Allah nak bagi yang lebih baik.

Mungkin itu lah yang ada dalam pemikiran orang-orang Bersatu yang tawadduk ini.

Mereka fokus buat kerja. Mangsa banjir kepala air di Baling dibantu. Bakul makanan terus dihantar ke rumah-rumah dalam keadaan rakyat susah zaman inflasi ini. Srikandi Bersatu pelopori projek tanaman hidroponik sayur-sayuran untuk diagih secara percuma kepada orang-orang kampung.

Ahli-ahli Parlimen dan ADUN Bersatu terus buat kerja untuk rakyat. Mereka tak sibuk nak ugut itu dan ini. Mereka tak ambil ‘pot’ pun apa orang UMNO nak kata.

Mungkin inilah budaya politik baharu yang dicari. Insya-Allah dalam setiap kesusahan ada kesenangan. Itu janji Allah.

Datuk Dr Marzuki Mohamad

Mantan Ketua Setiausaha Sulit (KSUS) kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin

Sumber: Agenda Daily

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top