Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menghela nafas lega apabila bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib kekal dihukum penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.
Jelas Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu, pengorbanan beliau dalam menyuarakan kebimbangannya mengenai penyalahgunaan kuasa dan rasuah akhirnya terbalas.
“Walaupun saya dihukum dengan pemecatan dari kerajaan dan parti pada ketika itu, saya terus istiqamah dengan prinsip menegakkan yang hak.
“Hari ini, saya bersama-sama dengan rakyat Malaysia yang konsisten melawan rasuah dan penyelewengan dapat menghela nafas lega dengan keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan bersalah ke atas Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.
“Terbukti, sistem kehakiman negara kita yang bebas telah dapat menjamin tertegaknya keadilan dan mengembalikan maruah negara yang tercalar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hari ini, Mahkamah Persekutuan sebulat suara mengekalkan sabitan hukuman 12 tahun penjara dan denda RM210 juta dalam kes SRC International Sdn Bhd terhadap Najib.
Jelas Muhyiddin, pendirian untuk tidak campur tangan dalam kes tertentu jelas menunjukkan beliau tidak mahu berkompromi dengan perasuah.
“Saya berharap, kebebasan badan kehakiman di negara kita terus dilindungi tanpa ada cubaan campur tangan atau desakan politik dari mana-mana pihak agar keadilan dapat tertegak.
“Kebebasan dan integriti badan kehakiman seperti mana yang terbukti pada hari ini adalah paksi sebuah negara demokrasi. Tanpa badan kehakiman yang bebas, sistem demokrasi di negara kita akan gagal untuk berfungsi dan Malaysia menjadi sebuah negara yang bersifat autoritarian, rasuah dan bankrap moral, na’uzubillah,” katanya.
Muhyiddin dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri selepas beliau membangkitkan terlalu banyak soalan berkaitan dana kekayaan berdaulat, 1Malaysia Development Berhad (1MDB), pada tahun 2015.