Business

Perkhidmatan kereta api Bangkok-Padang Besar-Butterworth akan disambung semula

Gambar KTMB

Malaysia dan Thailand bersetuju menyambung semula perkhidmatan kereta api terus antara Bangkok, Padang Besar dan Butterworth, menurut State Railway of Thailand (SRT).

Media melaporkan Ketua Pejabat Gabenor SRT Ekkarat Sriarayanphong berkata, rancangan itu dipersetujui secara prinsip semasa Persidangan Bersama KTMB-SRT ke-42 di Kota Kinabalu, Sabah, minggu lepas.

Terdahulu, SRT membatalkan perkhidmatan ekspres harian antara Bangkok dan Butterworth pada 2016, mengehadkan operasi ke Padang Besar di sempadan Malaysia-Thailand.

Susulan mesyuarat baru-baru ini, Ekkarat berkata, satu jawatankuasa bersama akan ditubuhkan untuk mempertimbangkan pembukaan semula laluan kereta api dari Bangkok Central Station–Padang Besar ke Stesen Butterworth.

Fasa awal akan melibatkan percubaan operasi selama enam bulan, katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Ekkarat berkata, pemulihan perkhidmatan kereta api itu adalah sebahagian daripada rancangan untuk meluaskan kerjasama dalam menyediakan perkhidmatan kereta api menghubungkan Thailand dan Malaysia, memudahkan perjalanan orang awam dan pengangkutan barangan merentasi sempadan dengan lebih lancar.

Perkhidmatan kereta api ini akan memberi manfaat dalam mempromosikan pelancongan dan meningkatkan pendapatan negara, katanya.

SRT dan KTMB turut bersetuju mempromosikan pelancongan dengan memperluas laluan kereta api persiaran percutian Malaysia, My Sawasdee yang kini berakhir di Hat Yai, ke Surat Thani pada tarikh yang akan dibincangkan kemudian.

Pada masa ini, My Sawasdee yang membawa penumpang dari Kuala Lumpur beroperasi pada hari cuti dan sangat popular dalam kalangan pelancong Malaysia.

Mesyuarat di Kota Kinabalu itu juga membincangkan kerjasama dalam pengangkutan kargo, dengan SRT menyatakan kesediaan untuk menyokong pengangkutan kargo merentasi sempadan seperti laluan Padang Besar-Hat Yai Junction.

 

Sumber FMT

PALING POPULAR

To Top