Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mengeluarkan kenyataan Kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan menjadi ‘kerajaan 30 hari’ sekiranya tidak menandatangani memorandum persefahaman (Mou) dengan Pakatan Harapan (PH).
Tambahan beliau, tindakan segera perlu dilakukan sebagai jaminan kerana bilangan yang menyokong kerajaan sangat tipis dengan jumlah 114 sokongan, sekali gus boleh tumbang pada bila-bila masa.
“Masing-masing nak gunakan kesempatan ambil peluang ini untuk mengukuhkan parti masing- masing. Untuk apa? Persediaan nak menghadapi pilihan raya umum tidak lama lagi, apa dia kaedah yang diperoleh parti kerajaan? Apa yang dibuat oleh parti pembangkang? MoU lah. Kalau parti pembangkang dapat peruntukan sama dengan kerajaan, bermakna RM3 juta setiap kawasan, mereka nak berkempen habis-habis, habislah kerajaan.” – ujar beliau
“Tapi nak buat macam mana? Kalau nak, kita kena bersetuju tawaran itu. Kalau tidak, kita akan ada Perdana Menteri dua minggu sahaja lah. Keuntungan bagi pihak kita, tidak diganggu. Maknanya kita stabil sampai Julai tahun depan.
“(Tanpa MoU) hari ini kita nak lalui hari mendatang pun tercungap-cungap,” – katanya
Mou ini adalah hasil daripada legasi kebijaksanaan Tan Sri Muhyiddin Yassin serta pasukan Kerajaan Perikatan Nasional lalu yang melakukan “political innovation” ke atas lanskap politik negara.
Kerajaan Persekutuan dan PH pada minggu lalu melakar sejarah negara dengan memeterai MoU Transformasi dan Kestabilan Politik yang berlangsung di Parlimen.