Sejenis pesawat ringan jenis Cessna 172 (9M ADA) telah terhempas di kawasan ladang kelapa sawit di Ladang Besout 2 Tambahan di Sungkai.
2 mangsa yang terlibat dalam kejadian tersebut merupakan jurulatih penerbangan dan pelatih.
Menurut Ketua Polis Perak Mohd Yusri Hassan Basri jurulatih Shahrul Imran Surea, 26, yang beralamat di Jalan Jelatek, Kuala Lumpur disyaki patah kaki kanan, manakala Ho Jia Lee, 20, beralamat di Lahat, Perak mengalami bengkak muka di sebelah kanan.
Dalam suatu kenyataan, dikatakan pesawat dari Syarikat Layang-Layang Aerospace Sdn Bhd, Ipoh, dalam perjalanan bergerak dari Ipoh ke Tg Karang pada 7.59 pagi tadi untuk latihan penerbangan, kemudian berpatah balik ke Ipoh dan terhempas di lokasi pukul 9.30 pagi.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba Perak Sayani Saidon berkata kedua-dua mangsa telah dibawa keluar dari lokasi kejadian.
“Kita terima panggilan kecemasan pada 9.46 pagi dan sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Slim River dengan bantuan BBP Bidor telah dikerah ke lokasi kejadian yang terletak 20 kilometer dari jalan besar,” katanya.