Umum

Pesawat ringan mendarat cemas dekat Pelabuhan Klang

Gambar JBPM

Sebuah pesawat ringan dikendalikan Kelab Penerbangan Subang terpaksa membuat pendaratan cemas dekat Pelabuhan Klang.

Menurut Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), pesawat Piper PA-28-161 yang membawa dua penumpang itu membuat panggilan kecemasan pada 2.58 petang tadi, 8 minit setelah berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah.

CEO CAAM, Norazman Mahmud dalam kemyataan berkata pusat Koordinasi Menyelamat Aeronautika Kuala Lumpur CAAM diaktifkan pada 3.10 petang selepas menerima maklumat bagi tujuan koordinasi operasi mencari dan menyelamat.

“Siasatan akan dijalankan di bawah Bahagian XXIII Peraturan-peraturan Penerbangan Awam 2016,” katanya.

Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor mengesahkan juruterbang Rolando Barba Jr dan pelatih juruterbang Muhammad Ridz Farhan Ridzwan selamat.

Pengarah JBPM Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail berkata tiga jentera bersama lima pegawai dan 17 anggota bergegas ke lokasi kejadian selepas panggilan kecemasan diterima pada 4.13 petang.

Dilaporkan media, JBPM tiba di lokasi kejadian pada 4.42 petang dan pemeriksaan ke atas pesawat oleh Pegawai Operasi Negeri, Mustakim Rimon mendapati pesawat itu tidak menunjukkan tanda-tanda kebakaran.

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top