Polis menahan 5 individu termasuk seorang wanita warga Thailand dalam pesta persendirian di sebuah kondominium di Johor Bahru, pada Khamis.
Menurut Ketua Polis Johor Bahru Selatan (JBS), Raub Selamat, mereka ditahan dalam operasi oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik JBS pada 12.30 tengah malam.
Beliau berkata, suspek yang terdiri daripada 4 lelaki dan wanita berusia 17 hingga 32 tahun itu ditahan kerana disyaki terbabit dalam penyalahgunaan dadah.
Pihak polis turut merampas dadah disyaki serbuk ekstasi, syabu dan ketamin dalam operasi itu.
“Hasil siasatan awal mendapati dadah dimiliki oleh semua suspek bagi tujuan berhibur di lokasi itu.
“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati empat suspek positif syabu dan seorang suspek negatif dari sebarang dadah,” katanya dalam kenyataan menurut Harian Metro.
Raub berkata, polis merampas 109.55 gram serbuk ektasi, syabu (4.2 gram), ketamin (0.55 gram) dan pil eramin 5 (0.30 gram).
Katanya, wang tunai sebanyak RM4,550 serta beberapa mata wang asing, empat utas rantai emas dan sebuah Toyota Vios turut dirampas.
“Dadah yang dijumpai adalah untuk kegunaan peribadi yang diperolehi daripada seorang individu yang dikenali melalui aplikasi sembang.
“Polis sedang menjalankan siasatan lanjut untuk mengenalpasti individu itu.
“Semua suspek direman lima hari sehingga 25 November depan untuk membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.