Harga runcit bagi petrol RON97 dan diesel di Semenanjung turun sebanyak 15 sen bagi tempoh 12 hingga 18 September 2024 dengan masing-masing pada RM3.25 seliter dan RM3.01 seliter, manakala RON95 kekal pada paras RM2.05 liter.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan hari Rabu memaklumkan pengurangan harga runcit itu seiring dengan penurunan harga pasaran minyak mentah dunia dan pengukuhan ringgit.
“Sejak 8 Ogos 2024 sehingga kini, kerajaan telah menurunkan sebanyak 34 sen seliter bagi harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia, manakala harga runcit petrol RON97 turun 22 sen,” katanya.
Bagaimanapun harga runcit diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada paras RM2.15 seliter.
Menurut kenyataan itu, penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan adalah menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (APM).
Katanya, kerajaan akan terus memantau perkembangan pasaran dan menyelaras harga dengan mengambil kira pergerakan harga pasaran minyak global dan menyokong kestabilan harga bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.