Petronas memperkenalkan program Mesra Rewards tanpa kad, program kesetiaan baharu yang akan memberikan lebih kemudahan kepada pengguna setia jenama PETRONAS.
Ketua Pegawai Operasi Petronas Dagang Berhad (PDB), Khalil Muri, berkata Mesra Rewards tanpa kad itu akan menawarkan kemudahan yang lebih besar untuk pelanggan memperoleh ganjaran sehingga tiga kali mata Mesra, termasuk penebusan bahan api percuma.
“Pelanggan kini boleh memperoleh dan menebus mata Mesra dengan mudah di hujung jari hanya dengan hanya memasukkan nombor telefon bimbit di pam bahan api.” katanya
Pelanggan yang telah memuat turun dan mendaftar aplikasi Setel pula akan mempunyai kelebihan tambahan, iaitu kebolehan memperoleh mata untuk pembelian di kedai Mesra dengan hanya mengimbas kod bar dan tebus pelbagai manfaat menarik seperti baucar runcit, langganan penstriman digital, makan dan minuman, penginapan hotel dan insurans perjalanan.
“PDB juga akan berterusan meluaskan rangkaian rakan dagang untuk menyediakan lebih banyak pilihan ganjaran Mesra,” katanya selepas majlis pelancaran Mesra Rewards baharu di sini, hari ini.
Majlis dilancarkan oleh Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PDB, Azrul Osman Rani.
Mengulas lanjut, Khalil berkata, PDB berbesar hati memperkenalkan program kesetiaan Mesra Rewards tanpa kad yang menjadikannya lebih mudah dan lebih baik.
Beliau berkata, ia juga memberikan pelanggan untuk merasai lebih banyak kemudahan dan ganjaran yang lebih menarik.
Katanya, program kesetiaan baharu itu direka bentuk dengan mengambil kira keperluan pelanggan dengan menawarkan cara yang lancar untuk memperoleh dan tebus mata ganjaran Mesra.
“Kami teruja untuk membawa program kesetiaan ganjaran yang mudah ini terus kepada pelanggan PETRONAS,” katanya.
Khalil berkata, sempena pelancaran program kesetiaan Mesra Rewards yang baharu, PDB turut memulakan kempen Mesra Bonanza 2023 dengan kerjasama Visa bermula 15 Oktober 2023 sehingga 15 Januari 2024.
Katanya, kempen selama tiga bulan itu akan menawarkan hadiah menarik bernilai lebih daripada RM700,000 dan pelbagai hadiah lain lagi termasuk hadiah utama iaitu percutian ke Paris dengan perbelanjaan akan ditanggung sepenuhnya.
“Jangan lepaskan peluang anda dan kunjungi stesen Petronas untuk pengalaman lebih mudah, lebih baik dan lebih bermanfaat,” katanya.
Sumber Berita Harian