Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mengumumkan menamatkan operasinya di Sudan Selatan yang dikendalikan oleh anak syarikatnya, Petronas Carigali Nile Ltd (PCNL).
Dalam kenyataan di laman sesawangnya, syarikat minyak dan gas negara itu berkata keputusan berkenaan susulan daripada pelaksanaan inisiatif dua tahun membabitkan usaha pelupusan sejajar dengan strategi pelaburan jangka panjang Petronas.
Ini juga seiring persekitaran industri yang berubah serta peralihan tenaga yang dipercepat, katanya.
Sehubungan itu, katanya, PCNL akan terus bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan yang berkaitan dalam memastikan proses peralihan berjalan lancar selain mengambil kira hak pekerjanya selaras dengan undang-undang yang digunapakai, perjanjian petroleum serta dasar dan prosedur Petronas.
Kehadiran PCNL dalam industri minyak dan gas di Sudan Selatan adalah berdasarkan model syarikat operasi bersama (JOC) dengan kepentingan dalam tiga JOC iaitu Dar Petroleum Operating Co Ltd, Greater Pioneer Operating Co Ltd dan Sudd Petroleum Operating Co Ltd yang ditubuhkan PCNL bersama kontraktor perjanjian cari gali dan perkongsian pengeluaran lain.
Maklumat di laman sesawang Petronas menyatakan syarikat minyak dan gas itu menerusi PCNL beroperasi di Sudan Selatan sejak 2011.