Kesihatan

Pinktober Special : Kepentingan Mamogram

Mengikut statistik Kementerian Kesihatan yang dilaporkan pada 2022, 1 daripada 9 wanita di negara ini berkemungkinan menghidap penyakit kanser.

3 jenis kanser paling kerap berlaku dalam kalangan wanita ialah kanser payudara (33.9%), kanser kolorektal (10.7%) dan kanser serviks (6.2%).

Daripada statistik tersebut, kanser payudara mempunyai kekerapan tertinggi di kalangan wanita. Justeru, terdapat keperluan segera untuk menggalakkan lebih ramai wanita untuk tampil melakukan saringan mamogram secara berkala.

Mamografi ataupun sering dirujuk sebagai mamogram, ialah X-Ray yang dilakukan ke atas payudara. X-Ray ini mampu mengesan awal kanser payudara sebelum ketulan dapat dirasai dan sebarang gejala fizikal menjadi jelas.

Mamogram dianggap sebagai kaedah paling umum untuk saringan kanser payudara, kerana ia mampu mengenal pasti keabnormalan yang mungkin tidak dapat dikesan melalui pemeriksaan fizikal mahupun ultrasound.

Semasa menjalani mamogram, kedua-dua belah payudara disaring satu per satu dimana payudara diletakkan di antara dua plat khusus, yang dimampatkan dengan lembut. Ini dilakukan untuk meratakan dan mengurangkan ketebalan payudara bagi meminimumkan gangguan dan menghasilkan imej yang jelas sekaligus mengurangkan kadar radiasi yang digunakan.

Wanita sedang menjalani mamogram. Foto Kredit National Cancer Institute via Unsplash

Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Dr. Ainul Mardhiah berkata “Semasa prosedur ini (mampatan antara dua plat), kebanyakkan wanita akan terasa kurang selesa sedikit tetapi untuk seketika sahaja. Jarang sekali ia dilakukan sampai menyebabkan kesakitan”

Mengakui terdapat juga kebimbangan dalam kalangan wanita yang mempunyai implan payudara, beliau menjelaskan bahawa kini terdapat mesin mamografi moden yang dilengkapi untuk mengendalikan implan, dan prosedurnya tetap selamat dan berkesan.

Berbeza dengan mesin mamografi menggunakan teknologi lama yang memerlukan pemampatan manual, kebanyakan mesin mamografi berkomputer dapat memastikan pemampatan yang mencukupi dan mengurangkan risiko implan pecah.

Wanita dinasihatkan untuk tidak malu untuk menjalani mamogram. Pada kebiasaanya, pakar radiografi atau juru x-ray yang mengendali mesin mamogram merupakan wanita sendiri, yang selalunya peka terhadap kebimbangan wanita dan sentiasa mengambil langkah untuk memastikan keselesaan dan maruah semasa peperiksaan terjaga.

Antara nasihat kepada wanita yang akan menjalani mamogram, Dr. Ainul mengesyorkan memakai pakaian dua bahagian, seperti kain skirt atau seluar pada bahagian bawah dan baju atau blaus untuk bahagian atas. Ini akan mengurangkan rasa tidak selesa kerana hanya pakaian pada bahagian atas badan ditanggalkan semasa prosedur dijalankan.

Sama seperti penyakit kanser yang lain, pengesanan awal amat membantu dalam proses rawatan kanser payudara. Di Malaysia, saranan umum adalah untuk menjalani mamogram setiap 2 tahun bagi wanita berusia 50 tahun ke atas yang tidak mempunyai sejarah keluarga kanser payudara atau sakit payudara.

Mamogram bagi wanita lebih muda tidak digalakkan kerana tisu payudara mereka masih padat. Jika terdapat ketulan, mamogram mungkin tidak dapat membezakan di antara tisu payudara dan tisu kanser.

Bagi wanita yang berisiko tetapi tisu payudara masih padat, penggunaan mamogram yang lebih kerap bersama-sama saringan alternatif seperti ultrasound payudara akan disarankan bagi mengesan sel kanser payudara dengan lebih baik.

“Perkara seperti mempunyai sejarah keluarga kanser payudara atau faktor risiko lain diambil kira dalam menilai kadar risiko seseorang itu” katanya.

Oleh itu, sempena bulan kesedaran kanser payudara, pink Oktober, Dr Ainul Mardhiah mengajak semua wanita yang berusia 50 tahun ke atas atau merasakan keadaan payudara yang tidak normal, untuk menjalankan saringan pemeriksaan mamogram. “Pengesanan awal boleh menyelamatkan nyawa.”

 

 

 

Artikel ini telah dihasilkan dengan kerjasama Malaysia Health and Humanity Organisation dan telah disemak oleh Dr. Ainul Mardhiah.

 

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top