Acara Food and Drinks Malaysia 2024 (FDM2024) by SIAL yang dianjurkan bermula 2 hingga 4 Julai di MITEC, menjadi tumpuan platform Kuala Lumpur Marketplace (KL Marketplace) mengembangkan jaringan perniagaan usahawannya.
Menerusi kerjasama yang diadakan antara Kuala Lumpur Malay Chamber of Commerce (KLMCC) dan penganjur FDM2024, platform KL Marketplace yang diterajui KLMCC berusaha untuk membuka akses pasaran dan peluang perniagaan 2 hala untuk pesertanya.
Bagi usahawan yang ingin mempamerkan produk dan membangunkan jenama, KL Marketplace membantu dengan menyediakan ruang pameran yang disertakan dengan khidmat nasihat, sokongan dan promosi oleh KLMCC.
Usahawan yang ingin mengintai peluang perniagaan atau melebarkan sayap ke pasaran baharu pula, KL Marketplace mengadakan satu delegasi bagi meninjau pameran.
Dengan kerjasama penganjur, delegasi seramai 30 usahawan dibawa melawat kesemua dewan pameran secara menyeluruh dan komprehensif, serta diperkenalkan delegasi kepada pempamer-pempamer bagi memudahkan perbincangan dan pengenalan produk yang dipamerkan.
Bagi kedua-dua kumpulan usahawan tersebut, KL Marketplace turut bersedia untuk memfasilitasi pertemuan antara usahawan, sama ada menerusi ruang pameran KL Marketplace ataupun menerusi platform business matching FDM.
Timbalan Pengerusi KL Marketplace, Rizal Abdul Rahman berkata “Ramai usahawan yang baru membangun berhajat untuk mempamerkan produk mereka di acara peringkat antarabangsa seperti FDM2024 ini, yang melibatkan pengujung dari serata dunia, cuma peluangnya agak terhad.”
Tambah beliau, menerusi inisiatif seperti ini, sasaran perniagaan mereka dapat direalisasikan.
“Dengan adanya delegasi ke expo dan acara seperti FDM 2024 ini, usahawan berpeluang mendapat pendedahan kepada trend dan innovasi industri yang terkini yang boleh membantu perancangan perkembangan perniagaan masing-masing” kata Rizal yang juga ketua delegasi ke FDM2024 ini.
Selama hampir 10 tahun, KL Marketplace telah menganjurkan berpuluh misi dagang ke luar negara termasuk ke Hong Kong, Jepun, Indonesia, Taiwan, Arab Saudi dan Korea Selatan, melibatkan pelbagai industri daripada fesyen dan pakaian, ke makanan dan minuman.
Untuk sebarang pertanyaan, termasuk penyertaan misi dagang, sila hantar email ke [email protected]