Perikatan Nasional (PN) sudah menyelesaikan pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di enam negeri yang akan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun ini, kata Ketua Pengarah Pilihan Raya gabungan itu, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar (MB) Kedah berkata bagaimanapun keputusan yang dicapai di peringkat enam negeri itu akan dibawa kepada PN pusat dimuktamadkan.
“Kita sudah selesaikan pembahagian kerusi di peringkat negeri,” katanya kepada pemberita sebelum Majlis Berbuka Puasa Sempena Kempen Dana #Aid4Turkiye&Syria Bersama Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang dan MB Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar serta MB Kedah di Ampang di sini hari ini.
Muhammad Sanusi berkata gabungan itu juga telah melancarkan jenteranya dan menyusun strategi untuk 100 hari bagi menghadapi PRN sekali gus telah melantik ‘Mas’ul’ (koordinator) di setiap negeri yang akan bertanding pada PRN kali ini.
Mengenai kutipan dana berkenaan, Muhammad Sanusi berkata pihaknya menyasarkan untuk membiayai 100 rumah kontena yang mempunyai satu bilik tidur, ruang tamu, ruang masak dan tandas kepada rakyat Turkiye yang terjejas bencana gempa bumi dengan harga RM30,000 untuk sebuah kontena.
Tujuan kita buat majlis hari ini untuk ke arah mendapatkan dana untuk membiayai rumah sementara ini,” katanya.
— BERNAMA