Umum

PNB tolak tawaran Sunway ambil alih saham IJM

Permodalan Nasional Bhd (PNB) memutuskan untuk tidak menerima tawaran pengambilalihan sukarela (VTO) yang dikemukakan oleh Sunway Corporation Bhd bagi memperoleh 13.5% kepentingannya dalam IJM Corporation Bhd.

PNB berkata keputusan itu dibuat oleh Jawatankuasa Pelaburan Lembaga Pengarah selepas menjalankan penilaian teliti, menyeluruh dan bebas, selaras dengan proses pelaburan serta rangka kerja tadbir urus syarikat.

Menurut PNB, penilaian tersebut dibuat berdasarkan pertimbangan komersial serta dipandu oleh tanggungjawab fidusiari untuk bertindak demi kepentingan terbaik para pemegang unitnya.

Antara faktor yang dipertimbangkan termasuk anggaran nilai intrinsik saham IJM berbanding harga tawaran, komponen tunai yang terhad dalam tawaran serta potensi peningkatan nilai masa depan saham yang akan diterbitkan.

PNB turut mengambil kira prospek dividen IJM serta potensi penciptaan nilai jangka panjang syarikat itu sebagai pelabur institusi.

“Keputusan ini dibuat sepenuhnya berdasarkan pertimbangan strategik sebagai pelabur institusi jangka panjang dan tidak bertujuan mempengaruhi bagaimana pemegang saham lain membuat keputusan mereka,” menurut kenyataan syarikat itu.

PNB juga menegaskan bahawa harga pasaran saham IJM sejak sekian lama tidak mencerminkan nilai asas sebenar syarikat berkenaan.

Sehubungan itu, syarikat pengurusan dana terbesar negara itu menekankan bahawa lembaga pengarah serta pengurusan IJM perlu memberi keutamaan kepada usaha merealisasikan nilai tersebut demi manfaat semua pemegang saham.

Pada 12 Januari lalu, Sunway mengemukakan tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat bagi memperoleh kesemua 3.51 bilion saham biasa IJM pada harga RM3.15 sesaham, dengan nilai keseluruhan kira-kira RM11 bilion melalui gabungan tunai serta penerbitan saham baharu Sunway.

Bagaimanapun, penasihat bebas IJM sebelum ini merumuskan tawaran tersebut sebagai tidak adil dan tidak munasabah, serta mengesyorkan pemegang saham menolaknya.

Menurut IJM dalam makluman kepada Bursa Malaysia, penasihat dilantik, M&A Securities Sdn Bhd, menganggarkan nilai saham IJM berada dalam julat RM5.84 hingga RM6.48, iaitu jauh lebih tinggi berbanding harga tawaran RM3.15 sesaham.

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top