Umum

Polis Kesan Pemandu Lawan Arus di Jalan Klang Lama

Polis sedang mengesan pemandu sebuah kenderaan yang tular di media sosial kerana memandu secara melawan arus di sekitar Jalan Klang Lama, pagi tadi.

Menurut Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, pihaknya mengesan video kejadian itu kira-kira jam 11.38 pagi sebelum menjalankan siasatan segera.

Hasil semakan mendapati kejadian berlaku sekitar jam 9.44 pagi, bermula dari persimpangan Jalan Klang Lama/Jalan Sepadu hingga ke persimpangan Jalan Klang Lama/Jalan Kuchai Lama.

Dalam video yang tular, kenderaan terbabit dilihat dipandu melawan arus sejauh kira-kira 500 meter, sekali gus membahayakan pengguna jalan raya lain.

β€œSetakat ini, semakan melalui sistem aduan mendapati tiada sebarang laporan polis dibuat oleh mana-mana pihak berhubung kejadian berkenaan,” menurut kenyataan JSPT.

Sehubungan itu, pihak polis telah mengeluarkan arahan untuk mengesan pemandu serta kenderaan terlibat bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987, iaitu kesalahan memandu secara melulu dan membahayakan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tersebut diminta tampil membantu siasatan.

PALING POPULAR

Copyright Β© 2021

To Top