Umum

Polis rampas 33 tan syabu, rampasan dadah terbesar negara

Gambar Hiasan

Pada 25 Januari 2025, Polis berjaya menggagalkan cubaan penyeludupan dadah antarabangsa terbesar dengan merampas 33.2 tan dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM1.062 bilion di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang.

Menurut Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Mat Zani @ Mohd Sallahuddin Che Ali, dadah itu dirampas selepas pihaknya menyerbu sebuah gudang di pelabuhan berkenaan, dan menemukan 166 tong drum berisi bahan larangan itu di dalam dua kontena.

“Pemeriksaan terhadap kedua-dua kontena masing-masing menemukan 83 tong dram berwarna biru bertulisan Paraffin Wax 3-5% mengandungi pepejal mampat berwarna putih kekuningan disyaki dadah jenis methamphetamine,” katanya pada sidang media di Balai Polis Port Klang, lapor Bernama.

Mat Zani berkata kontena itu didaftarkan sebagai bahan-bahan memproses barangan kosmetik dan juga lilin. Ia dipercayai dari Iran sedang dalam perjalanan ke Sydney, Australia.

Beliau berkata operasi itu adalah hasil perkongsian maklumat polis Australia dengan Bukit Aman, dan ia kejayaan terbesar polis dalam menggagalkan cubaan penyeludupan dadah antarabangsa.

“Kami percaya dadah yang boleh digunakan oleh 166 juta penagih ini juga adalah untuk pasaran Australia,” katanya.

Menurutnya, Bukit Aman meneruskan kerjasama dengan polis Australia bagi mengenal pasti sindiket atau organisasi yang terlibat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

 

 

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top