Umum

Polis sahkan rangka manusia di kebun durian remaja yang hilang pada Mei lalu

Gambar Facebook

Polis mengesahkan rangka manusia yang ditemui dalam semak di kebun durian berhampiran Kompleks Penghulu Mukim Linau, 24 Jun, milik remaja yang dilaporkan hilang pada 26 Mei lalu.

Menurut Pemangku Ketua Polis Batu Pahat Shahrulanuar Mushaddat Abdullah, pengesahan rangka terbabit milik Hafiz Fauzan Abdul Halid, 16, berdasarkan keputusan analisa pemprofilan DNA, oleh Jabatan Kimia Johor.

Menerusi profil DNA diperolehi daripada spesimen darah yang diambil untuk tujuan perbandingan mendapati kebarangkalian hubungan ibu bapa dengan rangka manusia yang ditemukan ialah 99.99%.

“Identiti rangka manusia tersebut ialah Hafiz Fauzan Abdul Halid, lelaki Melayu, berumur 16 tahun, pelajar tingkatan lima dan beralamat di Bandar Putera Indah Batu Pahat Johor, merupakan orang hilang yang dilaporkan sejak 26 Mei,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, bapa Hafiz, Abd Halid Sugiman, 44, ketika dihubungi menyatakan rasa bersyukur setelah menerima pengesahan keputusan DNA tersebut, selepas hampir sebulan mencari anak ketiganya itu.

“Jenazah akan dituntut pada pagi esok dan akan dikebumikan pada hari yang sama di Tanah Perkuburan Islam Batu 7, Tongkang Pechah,” katanya

 

 

PALING POPULAR

To Top