Kuala Lumpur, 21 Julai 2025 — Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan kewujudan satu video palsu berdurasi 32 saat yang memaparkan seolah-olah DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memberikan ucapan berkaitan tawaran bantuan kewangan kepada rakyat Malaysia.
Menurut Pengarah JSJK, CP Dato’ Rusdi bin Mohd Isa, video berkenaan telah dimuat naik melalui akaun TikTok @datukzulkarnain77 dan disyaki dihasilkan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).
“Kandungan video tersebut adalah palsu dan dipercayai bertujuan untuk menipu orang ramai dengan meminta individu yang mengalami masalah kewangan menghubungi seorang individu bernama Datuk Zulkarnain,” katanya dalam kenyataan media malam ini.
PDRM memaklumkan bahawa satu laporan polis telah diterima dan siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 419 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Sehubungan itu, orang ramai diingatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan kandungan video tersebut dan dinasihatkan untuk tidak menghubungi mana-mana individu yang dinyatakan.
“Ini jelas merupakan cubaan penipuan yang menggunakan nama dan imej Seri Paduka Baginda untuk memperdaya rakyat,” tegas beliau.
Sebarang maklumat berkaitan aktiviti penipuan boleh disalurkan kepada pihak polis melalui saluran rasmi.
[NH Online]
